Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan perinci kenaikkan gaji tentera
Diterbitkan:  Dec 11, 2010 3:55 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Kementerian Pertahanan telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kenaikkan skima gaji Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

ahmad zahid hamidi Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sendiri telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPA Datuk Seri Abu Bakar Abdullah untuk memperincikan tentang pelarasan gaji tentera, supaya sekurang-kurangnya bersamaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut pangkat.

"Tetapi sebenarnya jika mengikut Perlembagaan Malaysia, skima perkhidmatan ATM hendaklah berada di atas lain-lain perkhidmatan.

"Asas itu yang saya pegang walaupun ada yang pertikaikan tak perlu ada kenaikan gaji, kononnya askar banyak berehat dan tak berperang. Jadi, adakah perlu perang dulu baru nak naik gaji," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah Parlimen Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Pemangku Panglima Medan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Zulkiple Kassim, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Kolonel  (Kehormat) Datuk Mazlan Ngah dan pegawai-pegawai kanan tentera.

military tentera askar soldier malaysia 260307 wataniah Ahmad Zahid berkata ATM adalah pasukan profesional yang memainkan peranan tersendiri, termasuk ketika negara aman.

"Seperti (tentera) di seluruh dunia, dalam keadaan aman ini peranan tentera banyak bukan saja dalam latihan tapi pertolongan kemanusiaan dan bantuan bencana alam.

"Tentera kita juga terlibat dalam Pasukan Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Katanya, kajian pelarasan gaji itu dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi ATM walaupun tidak kedengaran tuntutan dari anggota tentera.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mulai tahun depan, ATM akan melaksanakan Program Jiwa Murni yang melibatkan kawasan pedalaman di seluruh negara.

"Kita akan terlibat dalam pembinaan kemudahan infrastruktur dan membaik pulih rumah-rumah rakyat miskin yang belum terjangkau oleh agensi kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan.

"Jemaah menteri telah berikan suatu panduan kepada ATM supaya membantu kawasan-kawasan yang melibatkan perkampungan Orang Asli dan pedalaman di mana pihak kontraktor sukar membawa material dan sediakan tenaga kerja di kawasan tersebut," katanya.

Menurutnya, ini memandangkan ATM memiliki kemudahan yang diperlukan seperti helikopter, bot dan kenderaan pacuan empat roda yang boleh digunakan untuk tujuan berkenaan.

- Bernama

ADS