Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Pakatan Rakyat R Sivarasa (PKR-Subang) diarahkan keluar Dewan Rakyat sehingga esok kerana didakwa mengenkari arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sivarasa, yang bangkit pada akhir sesi soalan mempersoalkan tindakan speaker yang menolak usul yang dikemukakannya semalam meminta perbahasan diadakan bagi membincangkan pendedahan oleh WikiLeaks berhubung dakwaan diplomat Singapura yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razah dengan kematian warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan juga memalit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘perangkap seks’.

parliament speaker pandikar amin pc 250608 05 Menurut Pandikar, kebimbangan yang ditimbulkan oleh Sivarasa adalah tidak berasas dan mengarahkannya untuk duduk. Namun apabila ahli parlimen itu terus berhujah dan enggan duduk, Pandikar mengarahkan beliau digantung sehingga esok.

Anwar (PKR-Permatang Pauh), kemudian bangkit dan mempertahankan Sivarasa bersama  Azmin Ali (PKR-Gombak). Ini menimbulkan pertikaman lidah yang hangat antara speaker dan juga ahli parlimen Pakatan Rakyat yang juga mula campur tangan.

Pandikar kemudian mengarahkan Azmin pula supaya keluar dewan sehingga jam 2.30 petang ini.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, kemudiannya, Anwar berkata keputusanmenggantung ahli parlimen Pakatan Rakyat tanpa notis melambangkan parlimen tidak menuruti sebarang peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat.

NONE Justeru beliau menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti.

"Saya lihat prosedur parlimen dipermainkan hanya semata-mata kerana kuasa majoriti. Kita berhujah panjang bagaimanpun, diketepikan begitu.

Keangkuhan Barisan Nasional

"Jadi sebab itu kita menyatakan kekesalan dan membantah keras persetujuan Speaker membenarkan hujah. Memang kita tahu keangkuhan Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka tetapi menggunakan saluran Speaker yang mempertahankan dengan peraturan padahal prinsip membela diri tidak berlaku," katanya.

Menurut Anwar, Pandikar tidak mampu mengawal dewan di kala berlakunya pertikaman lidah antara beliau dan pemimpin BN.

NONE "Kalau Speaker tidak dapat mengawal, sepatutnya beliau berundur dan beri laluan kepada timbalan beliau," katanya.

Pada sidang media yang sama, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke mendakwa wujudnya pakatan di antara Speaker Dewan Rakyat dan pemimpin BN untuk mengurangkan majoriti Pakatan Rakyat bagi memberi laluan mudah kerajaan untuk mengubal sebarang usul yang diperuntukkan dalam parlimen.

"Saya melihat mungkin ada agenda tersembunyi di belakang tindakan ini dan ini akan beri implikasi yang besar kepada kedudukan Pakatan Rakyat dalam dewan rakyat.

"Sekarang kita ada 77 ahli Parlimen. Kalau ada empat lagi ahli parlimen Pakatan digantung maksudnya kedudukan Pakatan dalam dewan akan hilang dua per tiga. Ini sudah kurang daripada 1 per tiga. Jadi mereka sudah mendapat balik dua per tiga dalam enam bulan akan datang.

NONE Kata Loke lagi, sekiranya parlimen meneruskan usaha menggantung lebih ramai ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat, maka persidangan parlimen akan datang akan memberi kuasa mutlak kepada mereka melakukan sebarang usul tanpa mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

"Seolah-olah ada agenda tersendiri kerana speaker membiarkan Barisan Nasional membuat keputusan ke atas ahli parlimen Pakatan Rakyat. Kedudukan Pakatan Rakyat akan kurang daripada dua pertiga kerana ramai ahli parlimen digantung. Peluang ini akan digunakan sepenuhnya oleh Umno-BN.

"Jadi mereka boleh membawa segala pindaan dalam sidang Mac dan Jun akan datang," kata Loke.

Taktik dapatkan majoriti 2/3

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) ( bawah, bertali leher ) pula mempersoalkan kegagalan Pandikar mengawal dewan dengan baik dan enggan berehat walaupun dewan dalam keadaan tegang.

pas memo rayappan pmo 121206 nasharudin mat isa "Saya bukan nak menggambarkan speaker sekarang dengan speaker dua sesi sebelum ini tetapi Tun Zahir sebelum ini, apabila keadaan menjadi tegang, beliau akan merehatkan dewan, bagi peluang untuk beliau sendiri dan wakil yang berbahas berehat.

"Selepas itu barulah dipanggil masuk kembali untuk menyambung perbahasan sebab memang ada peruntukan untuk itu. Tapi hari ini kita lihat beliau meneruskan juga dalam keadaan tidak dapat mengawal," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Katanya lagi, mereka tidak membangkitkan perkara yang dilarang untuk dibahaskan seperti melibatkan Raja-Raja atau prosedur mahkamah sebaliknya membincangkan perkara yang melibatkan ahli parlimen.

"Hari ini dikejutkan dengan tiga orang lagi ahli parlimen yang digantung selama enam bulan tanpa ada peluang untuk mereka pertahan diri atau bagi hujah di atas tuduhan yang diambil daripada sumber-sumber yang bukan utama.

"Ini menimbulkan persoalan dan kita kesal dengan tindakan ini. Selepas kita pertikai banyak institusi sebelum ini, sekarang parlimen sendiri boleh dipertikaikan integritinya," kata Nasharudin.

nizar vs zambry case hearing 210509 01 Sementara itu, Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ( kanan, berkaca mata ) juga berkata kerajaan cuba mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen dengan menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Dengan menggantung empat MP Pakatan, BN akan mendapat sokongan daripada lima MP Bebas bagi mendapat majoriti dua pertiga, katanya yang juga ahli parlimen Bukit Gantang.

Menurut Nizar, BN dijangka menggunakan jalan pintu belakang itu bagi meluluskan persempadan semula kawasan pilihan raya bagi memastikan ia memihak kepada mereka.

"Mereka boleh buat persempadanan semula, (dan) tambah beberapa kerusi baru untuk Sabah dan Sarawak.”

ADS