Mahkamah bebas peguam Rosli Dahlan

Peguam kanan, Rosli Dahlan bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan bahawa pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya.
    
Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Anthony Kevin Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof.
    
Beliau juga memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.
    
"Morais juga gagal membuktikan bahawa dia mempunyai asas untuk mengeluarkan notis itu," kata Abu Bakar.
    
Pada 12 Oktober, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegah Rasuah 1997.
    
Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.
    
Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada 12 Oktober 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari sebelum Hari Raya akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid esoknya untuk bersolat raya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, keputusan mahkamah hari ini membuktikan kebebasan badan kehakiman di negara ini.
    
"Saya menunggu tiga tahun untuk menyangkal pertuduhan ini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.  Rosli diwakili Datuk M Kumaraendran dan Chetan Jethwani.
    
Pada 12 Mac tahun lepas, Ramli dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan gagal mendedahkan maklumat mengenai pemilikan 20,000 unit saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 unit saham Permaju Industries Berhad dan dua lot pejabat di bandar, bernilai RM1,032,840.
    
Pada 27 Julai, 2008, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu membebaskannya daripada tuduhan salah guna kuasa pada 2007, berhubung dakwaan menggunakan pesawat Cessna polis untuk kegunaan peribadi.
    
Ramli hadir di mahkamah semasa perbicaraan hari ini.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.