Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Misi keamanan ATM diiktiraf Amerika Syarikat
Diterbitkan:  Dec 21, 2010 10:56 AM
Dikemaskini: 5:51 AM

Misi keamanan dan kemanusiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2010 ketara semakin menyerlah, dan tahun ini ia menerima pengiktirafan Amerika Syarikat.

Amerika mengakui bahawa pendekatan ATM menangani konflik dan isu global ketika melakukan tugasan antarabangsa tanpa menggunakan keganasan sebagai suatu usaha terpuji dan boleh dijadikan sebagai rakan yang penting di rantau ini, buat negara-negara besar.

Setiausaha Pertahanan Amerika Robert Gates berkata pendirian sederhana Malaysia dalam menangani isu global diterjemahkan ATM menerusi perdagangan bebas, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, ketelusan dalam penggunaan laluan maritim antarabangsa, ruang angkasa dan alam siber.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 November lepas.

Ahmad Zahid berkata kombinasi anggota daripada tiga perkhidmatan dalam kontinjen Malaysia iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara dalam misi pengaman itu menjadi model terbaik ATM dalam melaksanakan misi pengaman.

Jalinan kerjasama dan integrasi yang mantap itu menghasilkan pencapaian yang terbaik sehingga mendapat pujian dan penghargaan daripada pelbagai pihak, bukan sahaja dari negara-negara kuasa besar tetapi juga termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antara misi pengaman itu ialah pemergian mereka ke Lubnan melalui kumpulan Kontinjen Malaysia, Malcon dan Malbat, yang terlibat dalam operasi keselamatan dan kestabilan di negara bergolak itu sepanjang tahun, yang bermula sejak awal tahun ini.

ATM juga diberi kepercayaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila kawasan yang diletakkan di bawah tanggungjawab mereka di negara itu diperluaskan iaitu daripada lapan kilometer persegi kepada 14 kilometer persegi.

Selain pasukan Malcon dan Malbat, Malaysia turut menghantar tenteranya ke Afghanistan pada bulan Julai dan September lepas yang dikenali sebagai Malcon Isaf bagi membantu membina serta membangunkan semula Afghanistan.

Kerajaan Afghanistan melihat Malaysia sebagai negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang aktif melibatkan diri dalam misi bantuan kemanusiaan.

Sehubungan itu kerajaan Afghanistan meminta bantuan Malaysia dalam pembangunan semula negara yang musnah dan mundur akibat peperangan yang panjang itu.

Penglibatan pasukan pertahanan Malaysia dalam misi bantuan tidak terbatas di luar negara sahaja tetapi juga termasuk dalam tugas-tugas membantu rakyat Malaysia.

Di dalam negeri, ATM menyediakan pesawat bagi membawa pulang 401 rakyat Malaysia yang terkandas di Yogyakarta, Solo, Indonesia berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Kesemua mereka dibawa pulang pada 7 November lepas dengan menaiki tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat di Pangkalan Subang dekat Kuala Lumpur.

ATM turut menubuhkan pasukan khas bagi membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis pada akhir Oktober dan awal November.

Ahmad Zahid berkata pembentukan pasukan khas bersama-sama Polis Diraja Malaysia itu adalah satu tanggungjawab sosial bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat banjir.

Turut membantu ialah 200 anggota Rejimen Askar Wataniah dan Kor Jurutera ATM yang digerakkan bagi menjalankan kerja membaik pulih kemudahan awam yang rosak di negeri-negeri berkenaan.

Di samping tugas-tugas kemanusiaan, Kementerian Pertahanan juga mencatat sejarah apabila memeterai kontrak dan perjanjian bernilai kira-kira RM25 billion pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2010 (DSA 2010) yang mana merupakan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan pada pameran pertahanan itu sejak ia diperkenalkan pada 1988.

Daripada jumlah keseluruhan, RM15 bilion membabitkan nilai perjanjian firma terkemuka Rusia yang merupakan antara pengeluar jet pejuang termoden dunia, Irkut Aviation Corporation dengan Kementerian Pertahanan.

Perjanjian dengan Irkut itu meliputi tiga aspek utama iaitu pembekalan alat ganti ketenteraan, sistem persenjataan dan pengeluaran komponen aeroangkasa untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, 20 perjanjian bernilai RM10.36 bilion turut ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan lain, yang membabitkan 11 syarikat, termasuk lima firma asing, sempena empat hari berlangsungnya DSA2010 yang bermula pada 22 April lepas.

Kementerian juga bakal mewujudkan sebuah kompleks Angkatan Bersama sebagai satu markas strategik untuk tujuan latihan kompetensi bagi pegawai dan anggota ATM.

Markas itu dirancang akan dibina di Pangkalan Udara Subang, Selangor pada tahun depan sebagai memantapkan kesiagaan pegawai dan anggota bagi mengukuhkan jentera ATM.

--Bernama

ADS