Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suspek pengedar dadah cedera ditembak polis
Diterbitkan:  Dec 28, 2010 6:34 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah, cedera di leher akibat ditembak polis dalam satu kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di Kepong hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu bermula apabila beberapa anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan Batu Caves dengan menaiki tiga buah motosikal melihat kelibat sebuah kereta Kancil yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Kereta itu dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan anggota kita telah meminta lelaki itu untuk memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan, namun dia enggan berbuat demikian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memandu keretanya dengan laju menyebabkan kereta suspek turut melanggar kenderaan yang lain.

Langgar polis, rempuh orang awam

"Satu daripada tiga buah motosikal peronda kita berjaya mengekori suspek sejauh 4 km sehingga ke kawasan perumahan ini (Taman Intan Baiduri).

"Suspek kemudian bertindak melanggar motosikal anggota kita hingga menyebabkan anggota kita terjatuh. Melihat keadaan yang terancam, anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mana satu dari tembakan itu kena pada leher suspek," katanya.

Akibat terkena tembakan itu, lelaki terbabit tidak dapat mengawal kenderaannya lalu menyebabkan kereta Kancil terbabit mengundur dan merempuh orang awam yang turut berada di tempat kejadian.

Zulkifli berkata ekoran kejadian itu, tiga wanita yang masing-masing berumur 36, 40 dan 53 tahun serta seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun cedera di badan akibat rempuhan berkenaan.

Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

"Manakala suspek yang berusia 26 tahun itu turut dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan dan akan ditahan untuk siasatan," kata Zulkifli.

Empat rekod jenayah lampau

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menemui tujuh paket dadah jenis heroin, sejumlah wang tunai dan dua nombor pendaftaran kereta.

"Siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes dadah dan satu kes curi. Kita juga akan menyiasat punca dadah diperolehi dan nombor pendaftaran kereta yang ditemui dalam kereta suspek," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang suspek meninggal dunia dalam perjalanan ke Mahkamah Jalan Duta kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Zulkifli berkata lelaki yang berusia 35 tahun itu telah ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil sejak 22 Disember lepas atas kesalahan menceroboh.

"Suspek sepatutnya didakwa di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. Namun belum sempat sampai (di mahkamah) dia mengalami sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek mati akibat penyakit tibi yang dihidapinya, namun kita telah menghantar mayatnya ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya yang sebenar," kata Zulkifli.

- Bernama

ADS