Kelayakan Khusrin jadi SUK S'gor dipertikai

Kelayakan Datuk Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor yang baru, mula dipertikaikan, antaranya ekoran 'kontroversi' yang melingkarinya.

NONEPengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri) berkata, sikap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)  itu "yang seolah-olah ingin sabotaj" kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor selama ini hendaklah diambil kira.

Antaranya, dakwa Nik Nazmi, Khusrin melobi program Umno dijalankan di sebuah masjid di Taman Medan Ramadan lepas serta "engkar" keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menimbulkan kontroversi lawatan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang.

"Sebelum itu Khusrin ‘menempa nama’ dengan kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalm majlis yang turut dihadiri wakil rakyat Pakatan.

"Adakah individu yang sanggup menjadi perkakas politik dan mempermainkan sentimen agama layak menjadi setiausaha kerajaan negeri Selangor?" soal Nik Nazmi dalam blognya hari ini.

Dari seri rekod pula, ADUN Seri Setia itu berkata, Khusrin sekadar dalam gred Jusa C sebelum melangkah ke Jusa B untuk menjawat jawatan SUK yang bergred Jusa A.

azlanADUN muda PKR itu berkata, Khusrin juga sekadar menghabiskan tiga daripada 27 tahun perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di peringkat persekutuan, selebihnya cuma berkhidmat di negeri Selangor.

"Seolah-olah kelayakan Khusrin hanyalah sikapnya yang memang menentang Kerajaan Negeri yang diambilkira!" sindir Nik Nazmi.

Mengulas berhubung pihak yang berhak melantik jawatan SUK - sama ada kerajaan pusat atau negeri - Nik Nazmi berkata perkara itu tidak timbul kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak menyebut kedua-dua pihak.

"Namun tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan Pengarah JAIS Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor hanya melalui memaklumkan Sultan tanpa memaklumkan Menteri Besar Selangor boleh dianggap melanggar protokol," katanya.

Justeru, beliau berharap tiada pihak memainkan isu bahawa mempertikai pelantikan Khusrin sebagai antiistana.

"Tindakan Datuk Seri Najib (Razak) yang mengheret KSN dan IStana Selangorlah yang wajar dipertikai," tambah Nik Nazmi.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.