Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Arah buang salib, Najib digesa mohon maaf
Diterbitkan:  Dec 30, 2010 2:24 PM
Dikemaskini: Dec 31, 2010 5:56 AM

Ahli parlimen Seputeh Teresa Kok menuntut Datuk Seri Najib Razak supaya memohon maaf berhubung satu arahan didakwa daripada pejabat perdana menteri supaya membuang elemen keagamaan daripada satu majlis sambutan Krismas.

NONE Teresa mendakwa arahan itu  menetapkan supaya lambang salib disisihkan daripada satu majlis yang dihadiri Najib pada 25 Disember lalu.

Majlis berkenaan diadakan di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur.

Arahan berkenaan juga didakwa melarang berlakunya upacara sembahyang dan nyanyian lagu-lagu pemujaan di majlis anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) itu, kata Teresa lagi.

Teresa yang juga exco kanan kerajaan Selangor menyifatkan arahan daripada pejabat perdana menteri itu merupakan satu tindakan yang "tidak menghormati" masyarakat Kristian.

"Arahan Pejabat Perdana Menteri itu adalah satu pengkhianatan terhadap (slogan) berbilang etnik, berbilang agama 1Malaysia yang dikhutbahkan dengan penuh ghairah oleh Najib," kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

najib pc 091210 01 Tambahnya, Najib perlu memohon maaf kepada CFM kerana "menyah-Kristiankan" majlis sambutan Krismas berkenaan dan menafikan kebebasan beragama bagi rakyat Malaysia.

“Arahan seperti itu daripada Pejabat Perdana Menteri menunjukkan betapa tidak ikhlas dan tidak sopan kelakuan Najib sebagai seorang tetamu," katanya.

Teresa juga berkata, beliau meragui sekiranya Najib tidak mengetahui bahawa pejabatnya sendiri telah mengeluarkan arahan berkenaan.

Sehubungan itu juga, beliau menggesa Najib mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan mengarahkan kerajaan supaya menghormati tradisi Krismas dan hak rakyat Malaysia untuk bebas beragama.

“Saya harap Najib dan pejabatnya akan sedar bahawa ada makna mendalam bagi Krismas, melebihi Santa Claus dan salju dan makna mendalam itu perlu dihormati," katanya.

ADS