Gobala 'berniat jahat' tuduh Anwar tutup kuil Sivan

Pemimpin masyarakat India PKR hari ini tampil menyatakan sokongan mereka terhadap ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima kecaman berhubung penutupan satu kuil Hindu di Petaling Jaya.

Antara penjelasan yang dikemukakan, keputusan untuk menutup kuil tersebut dibuat oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Anwar tidak terlibat dalam tindakan berkenaan.

NONEPenjelasan itu dikemukakan salah seorang naib presiden baru parti itu N Surendran dalam satu sidang media bersama dua lagi pemimpin masyarakat India PKR -- exco kerajaan negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dan ahli parlimen Kapar S Manikavasagam.  

Sidang media itu diadakan bagi menjawab dakwaan yang ditimbulkan ahli parlimen PKR Padang Serai N Gobalakrishnan kelmarin bahawa Anwar bertanggungjawab menutup kuil Sivan berkenaan dengan alasan kuil tersebut "tidak mempunyai ciri-ciri India."

Surendran berkata dakwaan itu "tidak munasabah" memandangkan Anwar merupakan seorang pemimpin nasional dan tidak terlibat dalam keputusan kerajaan tempatan.

Tambahnya, dakwaan yang disuarakan Gobalakrishnan yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merupakan satu tuduhan "berniat jahat."

Kuil Sivan yang terletak di puncak Bukit Gasing di Petaling Jaya itu menjadi tumpuan utama Gobalakrishnan dalam menyuarakan rungutannya kepada pemimpin tertinggi parti itu, malah menyebabkan beliau melabelkan Anwar sebagai "anti-Hindu" dengan menutup kuil berkenan.

NONEManikavasagam turut menyatakan kekesalannya atas tindakan Gobalakrishnan menghamburkan tuduhan seperti itu.

“Jika Anwar benar-benar telah menutup kuil berkenaan, saya akan mula buat bising. Anda tahulah saya seorang pembuat bising.

"Tapi orang yang buat dakwaan ini juga perlu tahu cerita sepenuhnya mengenai kuil berkenaan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Xavier yang merupakan exco bertanggungjawab dalam hal ehwal bukan Islam di Selangor dalam pada itu itu pula menjelaskan, kuil itu bukan ditutup sepenuhnya.

“Ya, ia ditutup kepada orang ramai hanya sebab kerja-kerja pembinaan fizikal masih berjalan," kata Xavier yang juga bekas naib presiden parti.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian ke atas kuil berkenaan bermula sejak tahun 2006 lagi.

Kerja-kerja berkenaan dijalankan memandangkan anggota pemegang amanah kuil berkenaan mahu memperbesarkan kuil kecil berkenaan menjadi kuil Sivan terbesar di negara ini sehingga boleh memuatkan 100,000 orang penganut Hindu, kata Xavier lagi.

Ahli pemegang amanah kuil berkenaan termasuklah isteri kepada bekas presiden MIC Datin Seri Idrani Samy Vellu.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.