S'gor mohon keadilan, kuasa lantik SUK

Kerajaan Selangor kini menyerahkan kepada Ilahi untuk "mencari keadilan dan kebenaran" dalam kemelut yang timbul rentetan dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri (SUK) baru negeri itu.

Usaha itu dilakukan melalui satu majlis solat hajat yang dihadiri kira-kira 100 orang di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam malam semalam setelah cubaan mengadakan perbincangan dengan Sultan Selangor sebelum ini menemui jalan buntu.

Bercakap dalam majlis ringkas itu, menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim berkata solat hajat berkenaan bertujuan untuk mengembalikan kuasa pemilihan SUK kepada kerajaan negeri.

"Kita mahu kuasa diberikan kepada kerajaan negeri (dan kita juga mahu) perubahan supaya Selangor telus dalam usaha mentadbir rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap di hadapan hadirin dalam majlis berkenaan.

Tambahnya, kerajaan Selangor telah membuat persediaan untuk memastikan pemilihan pegawai SUK itu akan dapat bersama-sama memperjuangkan hasrat pentadbiran negeri tersebut.

"Calon itu mesti mengikut tatacara dan enakmen kerajaan negeri dan saya telah meminta pegawai kerajaan negeri memberi nama calon.

"Akhirnya saya telah menerima lapan nama yang layak untuk proses pemilihan jawatan itu," katanya.

'Tak tahu kena bersaing hantar nama'

Khalid berkata panel jawatankuasa temuduga itu antaranya  terdiri daripada exco kerajaan Selangor Dr Hassan Ali dan Dr Xavier Jayakumar yang telah mengemukakan tiga nama kepada Sultan Selangor.

"Yang kita pilih adalah mereka yang berpengalaman dan kepakaran khususnya bidang ekonomi serta menyesuaikan diri dengan jawatan dilantik.

"Saya tak diberitahu kena bersaing untuk hantar nama," katanya yang mengulas satu kenyataan daripada Istana Selangor sebelum ini yang mengakui menerima tiga nama calon untuk mengisi kekosongan itu tetapi "sudah terlewat."

Kenyataan daripada setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani itu juga menyebut, Sultan Sharafuddin Idris Shah telahpun memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru, seperti dilaporkan.

Turut hadir dalam program solat hajat itu ialah ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, exco kebajikan dan hal ehwal wanita Selangor Rodziah Ismail, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengarah komunikasi pejabat menteri besar Selangor Badrul Amin Baharom.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.