Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan rasa kekesalan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan titah-titah baginda sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

NONE Sehubungan itu baginda bertitah menasihatkan supaya tidak dipolitikkan setiap perkara kerana ia akan menyusahkan rakyat dan pembangunan di Selangor.

Baginda bertitah pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru, Datuk Muhd khusrin Munawi adalah mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Tegas baginda, isu perlantikan SUK tidak patut diperbesar-besarkan, dipolitikan atau disensasikan sehingga mengelirukan rakyat.

NONE Sehubungan itu, baginda menggesa semua pihak supaya memberikan kerjasama kepada Khusrin.

Baginda bertitah demikian di majlis pengurniaan darjah kebesaran SSIS kepada Raja Muda Selangor, pelantikan setiausaha kerajaan negeri, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, ahli Dewan Diraja Selangor, ahli Majlis Agama Islam Selangor dan ketua pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Berikut adalah teks titah ucapan baginda:

Pada pagi yang penuh bermakna ini, marilah kita semua bersama-sama mengangkat tangan memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmati dan dilindungi daripada apa-apa malapetaka dan musibah, supaya rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam aman makmur dan harmoni.

NONE Pada hari ini Beta merasa amat terharu dan kesal kerana banyak titah-titah Beta yang telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah mengelirukan ramai rakyat Beta di Negeri Selangor ini.

Seperti yang pernah Beta nyatakan kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) semasa pada Majlis Santapan Sembah Kasih sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang ke-65 pada 5 Disember 2010 yang lalu, Beta menegaskan bahawa Beta tidak menyebelahi mana-mana pihak atau mana-mana parti politik.

Hasrat Beta adalah untuk melihat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini sentiasa dalam aman dan rakyatnya tidak kira daripada apa bangsa dan agama hidup dalam harmoni dan sentiasa tolong menolong, bantu-membantu dan bekerjasama antara satu sama lain. Dato' Menteri Besar Selangor sentiasa menghadap Beta sekurang-kurangnya seminggu sekali dan semasa sesi menghadap ini, Beta dan Dato' Menteri Besar Selangor sentiasa bertukar-tukar fikiran dan saling menasihati serta berbincang untuk mendapatkan sesuatu yang baik dan elok untuk Negeri Selangor yang dikasihi ini.

NONE Beta mahu rakyat Negeri Selangor ini makmur dan mengecap kekayaannya bersama-sama dan mendapat apa yang mereka perlukan untuk kehidupan seharian. Dalam erti kata lain, jika Negeri Selangor ini aman dan tiap-tiap pihak menjalankan tugas mereka dengan jujur, telus dan penuh komitmen, maka pembangunan dan kemajuan yang dicapai akan benar-benar dapat dikecapi oleh rakyatnya.

Justeru itu, Beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ianya akan membebankan rakyat dan melambat proses kemajuan.

Walau bagaimanapun, Beta juga bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurniaNya, Negeri Selangor masih berada di dalam keadaan yang aman dan makmur sehingga ini. Beta mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para penerima yang hadir pada hari ini.

Beta mengucapkan tahniah di atas pelantikan Yang Berbahagia Dato' Mohammed Khusrin bin Haji Munawi sebagai Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri SElangor yang baru. Beta ingin menegaskan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ini adalah mengikut peraturan-peraturan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

NONE Beta tidak mahu isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor ini diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Harapan Beta yang Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik dan cemerlang.

Sumbangan dan tanggungjawab terhadap pembangunan dan kemajuan Negeri Selangor yang kita kasihi ini amatlah penting untuk kesejahteraan rakyat jelata yang berbilang bangsa.  Beta berkenaan menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan di Negeri Selangor memberi kerjasama yang baik kepada YB Dato' Haji Mohamed Khusrin agar segala perjalanan urusan pentadbiran negeri akan berjalan dengan lancar dan sempurna. Beta juga menitahkan supaya Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan dasar-dasar Kerajaan yang memerintah Negeri Selangor (Government of the day) mengikut undang-undang dan peraturan semasa (current rules dan regulations).

NONE Beta mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan di-Raja Selangor yang baru. Di sini ingin Beta mengingatkan bahawa Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor mempunyai peranan yang penting dalam menasihati Beta dalam masa pemerintahan Beta ini dan mereka mestilah menjalankan tugas dengan jujur, amanah serta ikhlas supaya Beta dapat menjalankan kuasa-kuasa sebagai pemerintah Negeri Selangor ini dengan adil dan saksama.

Beta sebagai seorang manusia, tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Oleh itu, Dewan di-Raja Selangor yang mulia ini haruslah memberi pandangan dan nasihat jika ada kesilapan yang Beta lakukan.

Kepada Sahibus Saadah, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor yang baru, Beta berharap agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan sempurna demi untuk menegakkan syiar Islam di Negeri Selangor ini serta menaikkan lagi martabat Agama Islam di Negeri Selangor.

NONE Pada hari ini, Beta berkenaan untuk melantik tiga (3) orang Jaksa Pendamai Selangor dan Beta berharap Ahli-Ahli Jaksa Pendamai Selangor ini dapat memberi perkhidmatan mereka kepada masyarakat dan juga dapat menyatupadukan rakyat di Negeri Selangor yang berbilang kaum ini. Jagalah nama baik Jaksa Pendamai dan janganlah menyalahgunakan pelantikan mereka untuk kepentingan diri sendiri.

Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan Beta ini, Beta berkenan supaya Negeri Selangor ini akan kekal sebagai negeri yang termaju di Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain serta segala urusan pentadbiran dan operasinya akan menjadi benchmark kepada negeri-negeri sedang membangun di rantau ini. Marilah kita bersama-sama bersatu padu untuk merealisasikan harapan Beta ini.

Beta berdoa semoga kita semua akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta kekal maju dan berdaya saing di samping mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

ADS