Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penulis: Ada 'tangan halus' di belakang anti-Interlok

Tentangan terhadap novel Interlok disyaki berpunca daripada "tangan-tangan halus" yang dengki terhadap kejayaan karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain itu yang diterima sebagai teks sastera di sekolah menengah.

Penulis veteran Dr Ilias Zaidi berkata, ini kerana kejayaan Interlok dipilih untuk sepuluh tahun membolehkannya mendapat honororium cetakan, dianggarkannya melebihi RM500,000.

"Dulu novel beliau Konserto Terakhir turut terpilih (sebagai teks) dan menghasilkan 'duit besar'.

"(Mereka anggap) hebat orang tua ini, kita pancunglah. Ini punca isu (penentangan)," kata bekas pensyarah di Universiti Teknologi Mara yang juga teman lama Abdullah.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas siapakah yang dimaksudnya dalam dakwaannya itu.

Dalam "Dialog Novel Interlok" anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) di pejabatnya di Kuala Lumpur, Dr Ilias juga berpendapat penentang novel itu tidak faham ilmu antropoli dan sosiologi.

"Novel ini sangat cocok. Bila kita kaji Interlok seolah kita mengkaji sejarah," katanya.

'Angkat masyarakat bawahan'

Sementara itu, novelis terkenal Dr Fatimah Busu pula turut berkongsi pendapat yang sama.

Tambahnya, novel yang "dijaki" (dengki) itu tidak harus ditentang kerana ia cuma rakaman realiti.

Mempersoalkan patriotisme kumpulan yang tidak senang dengan novel itu, beliau membandingkan dengan novel penulis India terkenal Mulk Raj Anand berjudul Untouchhble yang diterbitkan semula oleh Oxford University Press dengan judul "Paria".

Justeru  beliau mempersoalkan kenapa novel itu diangkat sedangkan Interlok ditentang.

Manakala seorang lagi ahli panel dialog itu, Syed Mohd Zakir Syed Othman pula sekali lagi mempertahankan Interlok sebagai sebuah "novel sosiologi" berkaitan perjuangan kelas dan bukannya "novel etnik".

"Ia memaparkan perjuangan masyarakat bawahan, untuk mengangkat masyarakat bawahan. Saya tidak pernah nampak novel ini sebagai novel etnik.

"Tapi kalau dilihat daripada perkauman sempit, itulah jadinya. Ia sebenarnya bukan rasis," katanya yang terkenal dengan nama pena SM Zakir.

ADS