Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bimbang ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei ditahan polis, beberapa pemimpin PKR tiba di ibu pejabat polis daerah Shah Alam hari ini untuk menuntut jaminan.

Antaranya adalah naib presiden parti itu Tian Chua yang menuntut polis mengeluarkan notis kepada Shuhaimi untuk hadir memberi keterangan.

NONE Tian juga berkata, polis perlu menyatakan tujuan siasatan dan memberi jaminan Shuhaimi tidak akan ditahan.

Tian turut menyifatkan tindakan polis mencari Shuhaimi sebagai satu "gangguan" dan mendesak pihak polis supaya jangan melibatkan diri dalam politik.

Sementara itu, Azmizam Zaman Huri - pembantu Shuhaimi - hadir di balai polis tersebut untuk menjelaskan sebab mengapa ADUN PKR Seri Muda itu tidak datang untuk memberi keterangan.

"Kami bimbang terhadap keselamatan dirinya dan kami jangka polis mungkin akan cuba menahannya. Jika jika polis datang mencari anda di rumah anda pada malam hari, saya percaya mereka mencari untuk menangkap anda, "katanya.

Menurutnya, mereka memerlukan jaminan bahawa polis tidak akan menangkap Shuhaimi dan memastikan keselamatannya.

"Kami memerlukan notis rasmi daripada polis. Mereka mesti memberitahu kami mengapa mereka perlu menemuinya. Atas sebab mereka perlu berbuat demikian dan apa yang mereka mahu darinya," kata Azmizam sambil menambah bahawa Shuhaimi akan datang jika mendapat jaminan tersebut.

Sehubungan itu juga, Azmizam berkata polis telah bersetuju untuk merekodkan keterangan Shuhaimi pada jam 4 petang esok.

Kenyataan itu akan direkodkan di pejabat Shuhaimi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, kata Azmizam dalam satu kiriman SMS lewat petang ini.

Pagi tadi, dalam satu kiriman SMS, Shuhaimi berkata akan memberi keterangan kepada polis jam 2 petang tadi, dipercayai berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor melalui tulisan di blog.

Ini susulan kunjungan beberapa orang anggota polis ke rumahnya awal pagi ini.

pkr congress 281110 shuhaimi Shuhaimi berkata, polis tetap mengunjungi rumahnya pada kira-kira jam 1 pagi sedangkan beliau telah "memberi komitmen" untuk hadir ke balai kepada seorang pegawai polis yang dinamakannya sebagai ASP Chong.

"Saya tak tau apa niat dan kenapa mereka datang juga cari saya malam tadi. Saya sudah bagi komitmen pada ASP Chong akan datang balai petang ini sejak semalam lagi sekitar pukul 7 petang," katanya dalam satu kiriman SMS.

Tambahnya terdapat dua versi berbeza berhubung tujuan polis merekodkan kenyataannya.

"Satu maklumat kata nak tanya hal simbah cat. ASP Chong kata nak ambil kenyataan pasal laporan ke atas saya. Di balai nanti baru kita tahu apa hal sebenarnya," katanya lagi.

Azmizam pula berkata, anggota polis telah menghubungi Shuhaimi apabila tidak dapat menemui ADUN berkenaan di rumahnya pada malam tadi.

Katanya, anggota berkenaan pada malam tadi telah meminta Shuhaimi supaya segera hadir ke balai polis berkenaan.

Bagaimanapun, Azmizam berkata Shuhaimi hanya dapat meluangkan masa untuk hadir ke balai berkenaan pada jam 2 petang ini.

Menurut seorang lagi sumber di pejabatnya, Shuhaimi pada waktu itu berada di Johan Setia, Klang, bagi menghadiri sebuah program Angkatan Muda Keadilan.

Ketika ditanya, beliau juga menafikan khabar angin bahawa Shuhaimi telahpun ditahan polis berhubung isu berkenaan.

"Tak ada (tahan). Pagi ini dia ada mesyuarat lembaga dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Pada petang nanti baru dia pergi ke balai polis," katanya lagi.

ADS