Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Liu kata boleh, Hasan kata tidak
Diterbitkan:  Jan 14, 2011 4:35 PM
Dikemaskini: Jan 15, 2011 1:37 AM

Dua exco kerajaan negeri Selangor mempunyai penakrifan berbeza berhubung larangan orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyajikan minuman keras.

pkr taman ehsan selayang ceramah 020810 hasan ali Jika semalam, exco perumahaan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu berkata umat Islam dibolehkan berbuat demikian kerana larangan berkenaan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah diarahkan ditarik balik, namun hari ini, exco hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam, Datuk Hasan Mohamed Ali ( kanan ) mempunyai definisi yang berlainan.

“Berhubung dengan isu orang-orang Islam yang dilarang bekerja di tempat-tempat menjual minuman keras seperti yang dikuatkuasakan di MPSJ, saya sebagai exco yang menjaga

hal ehwal Islam di negeri Selangor mendapati bahawa tindakan tersebut adalah wajar.

“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan MPSJ yang telahpun menguatkuasakan peraturan ini. Saya difahamkan peraturan ini telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan dari semua pihak termasuk ahli-ahli majlis yang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.

NONE Liu ( kiri ) juga semalam mengesahkan pekeliling menarik balik larangan itu telah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan dengan alasan “kerajaan negeri tidak menyedarinya.”

"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” katanya, sambil menambah isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat exco Rabu lalu.

Namun, menurut Hasan yang juga pesuruhjaya PAS Selangor , di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, peruntukan dibuat tidak membenarkan orang-orang Islam melibatkan diri di dalam urusan penjualan minuman keras.

Kekang maksiat

“Di dalam undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga terdapat persyaratan yang boleh menggunapakai peraturan yang serupa di dalam urusan pemberian lesen kepada pengusaha-pengusaha penjualan minuman keras tersebut,” katanya.

Hasan berkata kedua-dua peruntukan itu dengan sendirinya boleh digunakan untuk mencegah orang-orang Islam daripada terjebak dengan hal-hal yang berkaitan dengan minuman keras yang diharamkan oleh agama Islam.

NONE “Perlu disebutkan larangan ini terkhusus kepada orang-orang Islam tanpa melibatkan orang-orang yang bukan Islam. Oleh itu tidak perlu ada kebimbangan daripada mana-mana pihak tentang perlaksanaan peraturan-peraturan seperti di atas,” katanya.

Beliau  juga berkata penguatkuasasan yang dijalankan oleh MPSJ itu merupakan antara usaha mengekang kegiatan maksiat melibatkan minuman keras yang begitu menjadi- jadi terutamanya yang melibatkan masyarakat Islam di negeri ini.

Beliau berharap semua pihak menerima pendekatan berkenaan  dengan dada yang terbuka dan tidak ada mana-mana pihak yang tampil mempolitikkan isu tersebut.

ADS