Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan pengikut Syiah hari ini menuntut supaya polis mengambil tindakan ke atas  bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan juga seorang pendakwah Datuk Abu Hassan Din yang didakwa "berniat jahat untuk menghuru-harakan ketenteraman awam di Malaysia."

Seorang wakil kumpulan berkenaan Kamil Zuhairi Abdul Aziz berkata, polis perlu mengambil tindakan demikian memandangkan Mohammed Khusrin dan Abu Hassan telah mengeluarkan fitnah terhadap pengikut Syiah, seperti yang disiarkan beberapa akhbar dan stesen televisyen pada 15 Disember lepas.

NONE Kenyataan kedua-dua pemimpin agama itu timbul ekoran tindakan JAIS menahan kumpulan pengikut Syiah itu dalam satu serbuan di Gombak pada hari berkenaan.

"Kenyataan mereka telah mencetuskan kebencian masyarakat terhadap komuniti Syiah dan suasana tidak harmoni ini mengundang kekecohan dalam masyarakat berbilang kaum yang mengamalkan kebebasan beragama," kata Kamil Zuhairi dalam laporan polisnya petang ini.

Selain Kamil Zuhairi, seramai 13 lagi pengikut Syiah menandatangani laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.

Dalam laporan berkenaan, kedua-dua Mohammed Khusrin dan Abu Hassan antara lainnya didakwa telah menghina dan memfitnah komuniti pencinta keluarga Nabi Muhammad (Syiah) sebagai berbahaya dan mengancam keselamatan negara.

NONE Mohammed Khusrin dan Abu Hasan juga telah didakwa memfitnah komuniti Syiah bahawa kumpulan itu telah "mengkafirkan umat Islam dan mazhab ahli Sunnah" dan "menghalalkan darah pengikut umat Islam daripada mazhab ahli Sunnah."

Mohammed Khusrin dan Abu Hassan juga didakwa mengeluarkan fitnah bahawa ajaran yang dianuti kumpulan itu bercanggah dengan mazhab ahli Sunnah dari sudut akidah dan syarie.

Selain itu, kedua-dua pemimpin agama itu juga didakwa telah memfitnah bahawa kumpulan itu menganggap perkahwinan pengikut Sunnah "tidak sah dan anak yang dilahirkan sebagai anak luar nikah."

"Pihak media pula turut serta mengeluarkan kenyataan provokasi, menghina, menghasut dan memfitnah terhadap komuniti pencinta keluarga Nabi Muhammad," menurut laporan itu lagi.

Laporan itu turut menamakan akhbar Sinar Harian yang didakwa menyiarkan fitnah pada 17 Disember lepas bahawa kumpulan berkenaan "bermatlamat seks untuk menarik pengikut."

Laporan itu juga menamakan akhbar Berita Harian yang didakwa telah memfitnah pengikut ajaran berkenaan melalui satu laporan, juga pada 17 Disember, bahawa kumpulan berkenaan "mengadakan jamuan makan besar untuk tarik ahli."

Ditanya selepas membuat laporan berkenaan, Kamil Zuhairi berkata beliau "hampir pasti" akan menyaman individu yang dinamakan itu.

Kumpulan berkenaan turut ditemani peguam Mohd Haidar Mohd Hashim.

ADS