Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: K'jaan, Umno sentiasa sokong kaum India maju
Diterbitkan:  Jan 18, 2011 7:05 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan dan Umno sentiasa menyokong dan menghormati kaum India di negara ini agar mereka maju bersama-sama masyarakat lain.

"Siapa kata kita tidak menghormati orang India. Itu tidak betul. Kita mahu orang India juga ada hak di bawah gagasan 1Malaysia," kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat India dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang di Labis hari ini.

NONE Najib berkata, pada masa sama juga kerajaan memerlukan sokongan daripada rakyat termasuk kaum India, supaya agenda untuk pelbagai transformasi yang besar terhadap negara dapat dicapai.

Beliau berkata, kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa yang telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah dan isu masyarakat India termasuk hal kerakyatan, kad pengenalan, sijil kelahiran, pembinaan kuil dan sekolah Tamil.

"Bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan belia India, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia, menyediakan pelbagai skim latihan kemahiran kepada mereka.

"Bagi yang tinggal di ladang pula, saya juga sudah meminta syarikat seperti Sime Darby supaya menyediakan lebih banyak rumah dan bekalan air yang mencukupi," katanya.

Najib juga merujuk kepada satu SMS yang cuba mengapi-apikan masyarakat India dengan menyebut kononnya Umno tidak menghormati masyarakat India.

"Itu tidak betul. Kita menghormati dan kita hendak orang India maju bersama komuniti lain," tegasnya.

Dalam menghadapi pilihan raya kecil bagi kerusi Tenang, Najib menyeru masyarakat India di kawasan berkenaan supaya bersama-sama menyokong BN.

"Kita mesti buktikan dan memberi isyarat supaya Tenang akan muncul sebagai kubu kuat BN," katanya.

Tenang mempunyai 1,780 pengundi India daripada 14,753 pengundi di situ.

Penamaan calon ialah Sabtu ini manakala pengundian akan berlangsung pada 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, daripada BN pada 17 Disember lalu.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS