Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diterajui Datuk Zaid Ibrahim dirasmikan pagi ini dengan dibarisi nama-nama terkenal daripada pelbagai parti.

Antaranya termasuk ahli parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan, bekas setiausaha parti itu Datuk Salahuddin Hashim dan bekas timbalannya yang dipecat P Jenapala.

NONE "Gobalakrishnan, dia masih ahli PKR. Tapi tak mengapa (dia datang)," kata Zaid dengan nada bergurau ketika mengalu-alukan tetamu berkenaan dalam ucapannya.

Mengulas kehadiran Salehuddin pula, Zaid berkata: "Dialah yang menyebabkan saya masuk PKR. Tapi sebab dia keluar (PKR), saya pun keluar juga."

Zaid merupakan ahli majlis tertinggi PKR sebelum meninggalkan parti itu November lalu dengan alasan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan langsung yang dijalankan parti berkenaan.

'Walau kecil, KITA ada kawan'

Zaid kemudiannya mengambil alih kepimpinan parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebelum menamakannya semula sebagai KITA dalam mesyuarat agung luar biasa parti berkenaan pada Disember lalu.

NONE Turut hadir ke majlis pelancaran itu ialah wakil daripada parti Snap, SAPP, PPP dan Parti Cinta Malaysia.

"Walaupun parti kita kecil, kita ada kawan dan sahabat dan kita akan terus berjuang," kata Zaid lagi dalam ucapan tersebut.

Zaid juga berkata, parti itu tidak sepatutnya dilihat sebagai pengacau kerana penubuhan parti itu merupakan suatu hak.

'Pakatan hanya mahu rebut kuasa'

Dalam masa sama, Zaid turut mengambil peluang untuk membidas Pakatan Rakyat yang menurutnya bertujuan "tidak lain hanya untuk berebut kuasa".

Zaid berkata, Pakatan yang diketuai Anwar Ibrahim akan terus "bermain" dengan emosi rakyat dan akan berkata apa sahaja untuk menawan Putrajaya.

Anwar juga akan berbuat demikian demi mengalih perhatian masyarakat daripada "masalah peribadi" yang dihadapi ketua umum PKR itu, kata Zaid lagi.

NONE "(Namun) PAS tidak akan meninggalkan agenda negara Islamnya dan DAP amat tersilap jika mereka fikir bahawa mereka berada dalam satu pakatan yang membenarkan rakyat Malaysia kekal bebas, sekular dan demokratik," katanya.

Zaid juga berkata KITA tidak sepatutnya dilihat sebagai pengacau kepada peluang Pakatan dalam pilihan raya kelak memandangkan penubuhan parti itu merupakan satu hak.

"Mereka meluahkan rasa tidak senang, melihatnya lebih sebagai pengacau dalam pilihan raya akan datang. Ia dianggap akan menjejaskan peluang pembangkang.

"Mereka inilah yang memuji-muji nilai demokrasi tetapi pada masa yang sama tidak mempedulikan prinsip yang paling asas -- bahawa setiap suara mempunyai hak untuk diperdengarkan, tidak kira seberapa kecil sekalipun suara itu," katanya.

'BN tak mampu berubah'

Sebaliknya, Zaid berkata KITA merupakan satu alternatif kepada masyarakat.

"Kini masyarakat negara ini mempunyai pilihan yang mereka boleh lakukan. Mereka boleh terus berada di dalam dunia pecah dan perintah – cara BN di mana hegemoni dan kawalan merupakan ciri yang perlu.

"Atau mereka boleh bersama kita," katanya lagi dan menambah, BN tidak akan mampu berubah dan akan terus bersikap autokratik dan autoritarian.

"Perdana menteri sekarang, berdasarkan latihan, pendidikan, dan asuhannya, merupakan pemimpin Umno yang paling sesuai untuk melaksanakan perubahan progresif dan moden dalam negara.

"Tapi dia tidak akan dapat mendapat sokongan dari pelbagai lapisan ekstremis di dalam partinya sendiri," katanya lagi.

ADS