Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.

Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri. Tiada peruntukan rayuan ditetapkan.

"Badrul mengakui tidak hadir dalam sepucuk surat yang tiba di pejabat saya bertarikh 10 Disember. Dia memohon cuti bagi mendapatkan rawatan perubatan tradisional di Pahang,” kata Teng.

Ketika ditanya, Teng kemudiannya mengemukakan rekod menunjukkan Badrul Hisham tidak menandatangani borang kedatangan pada 8 November lalu.

"Dalam suratnya itu, Badrul juga mengakui beliau tidak hadir pada semua hari semasa dewan bersidang pada November,” katanya.

NONE Sebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan kerusi itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN sejak Julai tahun lalu.

Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

ADUN kontroversi itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Sebelum itu, beliau juga 'menghilangkan diri' buat seketika dan muncul semula dengan berita bahawa beliau akan berpaling tadah.

azlan Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil.

Terkini, satu pilihan raya kecil diadakan di Tenang, Labis, Johor berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha.

Sebelum ini, seorang pembantu khas ADUN Pelabuhan Klang, yang tidak mahu namanya dipetik memberitahu, wakil rakyat itu hanya gagal hadir pada satu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 11 November atas masalah kesihatan.

Katanya, surat ketidakhadiran telah dimaklumkan kepada Teng.

Beliau juga menafikan wakil rakyat itu gagal hadir selama enam bulan kerana beliau sendiri mencatat kehadirannya.

[Baca berita penuh]

ADS