Pekerja bukan eksekutif Maybank telah menubuhkan kesatuan dalaman bagi mewakili kepentingan mereka serta menyelesaikan isu berbangkit menerusi rundingan, dan bukannya konfrontasi.
Ia ditubuhkan pada Oktober tahun lepas.
Dikenali sebagai Kesatuan Pekerja-Pekerja Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu), ia ddidaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 3 Jan lepas, setelah mendapat pengiktirafan Kementerian Sumber Manusia.
Mayneu kini berusaha mencapai keanggotaan seramai 3,500 orang dari seluruh negara bagi membolehkannya diiktiraf Maybank.
Dalam kenyataan pertama yang dikeluarkan hari ini, kesatuan itu berkata sebaik sahaja diiktiraf, pekerja bukan eksekutif bank tersebut akan diwakili Mayneu.
Setakat ini, kesatuan itu mempunyai lebih 1,500 anggota berdaftar.
Maybank adalah bank terbesar di Malaysia dengan lebih 380 cawangan domestik dan 90 cawangan antarabangsa.
Sementara itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) berkata Mayneu tidak akan menggugat kedudukan 7,000 pekerja Maybank yang menjadi anggota NUBE.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata NUBE akan terus memperjuangkan hak anggotanya.
--Bernama
