Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hindu Sangam kecewa
Diterbitkan:  Jan 27, 2011 8:38 PM
Dikemaskini: Jan 28, 2011 2:11 AM

Malaysia Hindu Sangam (MHS) amat terkejut dan benar-benar kecewa dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa novel 'Interlok' akan dikekal dalam sukatan kesusasteraan Melayu bagi tingkatan lima.

"(Keputusan itu dibuat) walaupun banyak bantahan dari pelbagai pihak dalam masyarakat India - yang meragkumi ahli akademik dan NGO - yang keras membantah kandungan dalam beberapa bahagian novel tersebut, yang berunsur menghina," kata presiden MHS, RS Mohan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, MHS tidak menyokong novel tersebut yang akan dibaca oleh ratusan ribu pelajar di seluruh negara.

Mohan berkata, memandang sebahagian besar guru yang mengajar Sastera Melayu adalah bukan India, maka mereka tidak akan dapat menjelaskan penggunaan kata-kata menghina oleh penulis dan beberapa kenyataan mengelirukan dalam novel tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan kementerian berkenaan sebagai bercanggah sepenuhnya terhadap konsep '1 Malaysia serta tidak akan membantu perpaduan antara kaum di negara ini.

Menurutnya, MHS akan terus berjuang supaya novel 'Interlok' ditarik balik daripada sukatan kesusasteraan Melayu bagi tingkatan 5.

MHS juga, katanya, akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan dan menyelesaikan itu tersebut.

Selain itu, kata Mohan, MHS akan mengadakan dialog dengan NGO India Sabtu ini di pejabatnya di Petaling Jaya.

Sesi dialog itu juga, tegasnya, akan turut membincangkan isu-isu serius lain yang dihadapi masyarakat India serta menyediakan memorandum bersama untuk diserahkan kepada perdana menteri.

ADS