MP Padang Serai umum keluar PKR

Bekas naib presiden PKR, N Gobalakrishnan, yang juga ahli parlimen Padang Serai, hari ini mengumumkan melepaskan semua jawatannya di dalam parti itu.

Pengumuman itu dibuatnya menerusi laman sosial twitter.

"Selamat pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO baru," katanya dalam mesej yang diposkannya jam 10.50 pagi tadi.

Namun Gobalakrishnan, tidak menyebut nama badan bukan kerajaan (NGO) baru yang akan disertainya bagi meneruskan kerja-kerjanya.

NONEDi Kulim, Bernama melaporkan Gobalakrishnan, juga mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan
kini menjadi ahli parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.

Gobalakrishnan, 50,  mengumumkan keputusan itu pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Paya Besar Lunas, dekat Kulim.

Dengan keputusannya itu, katanya beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak akan mengeluarkan sebarang surat mengenai perkara itu kepada PKR.

Sudah fed up

"Saya sudah fed up (bosan) dengan (Penasihat PKR) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) serta (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR," katanya.

Katanya beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Beliau juga sempat membidas Anwar yang dakwanya bukan sahaja memperkudakan kaum Melayu dan Cina sahaja dalam mencapaikan cita-citanya tetapi kaum India juga tidak terkecuali.

azlanKatanya beliau yakin hasrat Anwar untuk menakluk Putrajaya akan tersasar sekaligus gagal kerana bagaimana mahu mentadbir negara dengan masalah dalaman parti pun semakin teruk.

"Kerana itulah saya membuat keputusan keluar parti yang saya juga menjadi salah seorang pengasas ketika penubuhannya. Nampaknya parti ini sudah nak runtuh, jadi biarlah saya keluar sebelum “rumah” ini runtuh," katanya.

Gobalakrishnan berkata tindakannya keluar parti adalah tindakan bersendirian dan terpulanglah kepada penyokong-penyokongnya sama ada mahu ikut bersamanya atau kekal sebagai anggota PKR.

Sementara itu, Setiausaha PKR Cabang Padang Serai S Nagalingam yang turut hadir pada sidang media itu berkata timbalan pengerusi cabang berkenaan Johari Ismail akan memangku jawatan ketua cabang yang dilepaskan Gobalakrishnan.

Majoriti 2/3

Empat ahli parlimen telah meninggalkan PKR sejak pilihan raya umum 2008 - Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) manakala seorang lagi Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Bahru) dipecat dari parti.

azlanPKR kini mempunyai  23 kerusi di Dewan Rakyat, berbanding 30 yang dimilikinya selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Selain yang dipecat dan berpaling tadah, mereka juga gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

DAP mempunyai 29 kerusi dan PAS pula, 23.

BN hanya memerlukan tiga lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk berpaling tadah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jumlah yang diperlukan adalah 148 kerusi dan ini boleh dicapai menerusi 138 kerusi yang dimenanginya bersama sokongan tujuh ahli Bebas yang mesra BN (termasuk MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali) berserta tiga yang lain.

Sudah diduga

Keputusan yang diambil Gobalakrishnan bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau dikatakan enggan menjawap surat tunjuk sebab PKR yang dikemukakan pada 4 Januari lalu.

Sebaliknya dalam jawapan angkuhnya di Twitter pada 21 Januari lalu, Gobalakrishnan berkata, "Kenapa mesti saya jawab surat tunjuk sebab? Ketua umum PKR, Anwar Ibrahim dan parti mesti jawap soalan saya dulu. Saya tak akan berhenti sehingga mereka jawab.”

Kemarahan Gobalakrishnan memuncak apabila beliau tewas pada pemilihan PKR yang didakwanya dicemari penyelewengan.

Beliau semakin berang apabila kepemimpinan parti itu, melantik pendatang baru, N Surendran sebagai naib presiden. Gobalakrishnan mendakwa ahli politik novis itu tidak mampu mewakili kepentingan masyarakat India.

NONESerangan terakhirnya ke atas PKR apabila dia mengecam pemimpin parti itu kerana terbabit dengan perasmian Kuil Sivan di Petaling Jaya dan mendakwa Awnar secara peribadi mengarahkan kuil itu ditutup menyaksikan beliau diberi amaran.

Namun, Gobalakrishnan enggan menutup mulut tetapi sebaliknya, beliau banyak memuat-naikkan beberapa ulasan di Twitter di mana beliau membidas pemimpin parti, khususnya Anwar dan timbalan presiden, Azmin Ali.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.