Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: Cuaca baik, BN pasti dapat majoriti lebih
Diterbitkan:  Jan 31, 2011 5:30 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan kejayaan BN mengekalkan kerusi DUN Johor kawasan Tenang semalam sebagai pencapaian yang sangat cemerlang.

Beliau berkata sekiranya cuaca lebih mengizinkan dan tidak berlaku hujan berterusan yang mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan pada hari pengundian semalam, BN pasti dapat memperoleh jumlah majoriti undi yang lebih tinggi.

"Kemenangan ini harus dianggap cemerlang sebab dalam keadaan cuaca di mana komunikasi dan lalu lintas menjadi sukar, kita mencapai kadar 71 peratus lebih keluaran mengundi.

"Lantaran seramai sedemikian tidak dapat keluar mengundi dan lalu lintas terhad, kita dapat menggarap sedemikian banyak undi dan ini adalah pencapaian yang boleh dianggap sebagai menjulung kehendak Perdana Menteri kita," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

BN mengekalkan kerusi itu Tenang apabila calonnya Mohd Azahar Ibrahim menewaskan calon PAS Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi setelah memperoleh 6,699 undi.

Rais turut melahirkan penghargaan kepada petugas media termasuk agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, yang bertungkus-lumus menyalurkan perkhidmatan berita dan penerangan sepanjang pilihan raya kecil itu.

"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, walaupun dalam keadaan cemas, banjir dan sebagainya, kita telah dapat menyajikan berita-berita tentang Tenang sebaik mungkin.

"Anak buah kami seramai 32 orang masih tersadai di sebuah kampung di Labis, saya bercadang untuk minum teh dengan rakan-rakan itu apabila mereka pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

--Bernama

ADS