Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wisma Putra timbang pindah rakyat M'sia di Mesir
Diterbitkan:  Jan 31, 2011 6:44 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Timbalan Menteri Luar A. Kohilan akan berlepas ke Kaherah malam ini mengetuai sepasukan lima orang untuk menilai keadaan semasa di sana serta melihat keperluan memindah lebih 11,300 pelajar serta rakyat Malaysia, berikutan krisis politik dan hura-hara yang semakin memuncak di negara itu.

Kohilan berkata bergantung kepada keadaan, antara penilaian dan pilihan yang akan dibuat ialah mengenai sama ada pelajar dan rakyat Malaysia perlu dibawa keluar terus ke Malaysia mahupun dipindahkan ke negara berhampiran seperti Arab Saudi dan Libya.

Menurutnya antara pilihan yang akan dilihat ialah membawa atau memindahkan melalui jalan darat, laut dan udara, tetapi semuanya bergantung kepada keadaan di sana yang sentiasa berubah.

Berikutan perkembangan terbaru, beliau berkata kerajaan telah menaikkan tahap klasifikasi keselamatan yang sebelum ini kuning kepada oren kerana "situasi telah mula membahayakan rakyat Malaysia".

"Jadi kita akan pergi ke sana dan melihat sama ada perlu membawa keluar pelajar-pelajar kita dan rakyat Malaysia atau mempunyai cara lain untuk terus memberi bantuan kepada mereka...kita akan lihat akan kesesuaian (pilihan yang ada)...kita boleh merancang macam macam cara tapi mungkin keadaan di sana agak lain sedikit," katanya kepada pemberita di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), di Kuala Lumpur, hari ini.

Kohilan berkata pasukan tinjauan ini dianggotai oleh wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan juga dari Kementerian Luar Negeri bagi menilai keadaan semasa sebelum sebarang pemindahan rakyat Malaysia dilakukan.

Katanya Majlis Keselamatan Negara telah mengadakan mesyuarat kali kedua membincangkan pemindahan pelajar Malaysia di Mesir berikutan keadaan yang semakin buruk akibat tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut pengunduran Presiden Hosni Mubarak.

"Adalah dinasihatkan supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan atau lawatan tidak penting ke Mesir. Rakyat Malaysia yang berada di Mesir juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa Mesir termasuk arahan perintah berkurung serta mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnnya seperti yang dimaklumkan kedutaan besar Malaysia di Kaherah," kata Kohilan.

Menurut Kohilan, setakat ini sejumlah 11,319 pelajar Malaysia berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Kaherah dan tidak menolak kemungkinan angka ini lebih besar lagi dan menambah kata bahawa setakat 12 tengah hari ini, kesemua pelajar dan rakyat Malaysia dilaporkan selamat di negara itu.

Menjawab satu soalan, Kohilan menjelaskan bahawa misi ini hanya untuk menilai keadaan untuk keperluan pemindahan, serta memberi segala bantuan yang diperlukan dan memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia dan tidak ada sebarang perjumpaan akan dilakukan dengan sebarang menteri negara Mesir.

Sementara itu di Kuala Terengganu, pelajar Terengganu di bawah tajaan Yayasan Terengganu yang sedang belajar di beberapa tempat di Mesir, kini dalam keadaan selamat.

Pengarah Yayasan Terengganu Aziz Mamat berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan kedutaan bagi mengetahui keadaan pelajar dan perkembangan terbaru keadaan di negara itu.

"Ketua Penolong Pengarah YT Razali Mahmud telah dihantar ke Wisma Putera di Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang pelajar kita di sana," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Aziz berkata, terdapat kira-kira 233 pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang sedang belajar dalam pelbagai jurusan di Mesir seperti di Mansurah, Iskandariah dan Kaherah.

Beliau berkata, semua pelajar dinasihatkan supaya tinggal di asrama dan jangan keluar dari kediaman masing-masing.

"Kita difahamkan laporan daripada Wisma Putra, pergolakan di Mesir kini sudah sampai ke tahap Oren dari Kuning. Apabila sampai ke tahap Merah, pelajar ini akan dibawa keluar dari negara itu," katanya.

- Bernama

ADS