Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Perbadanan bangun Kg Baru diwujud tahun ini'
Diterbitkan:  Feb 1, 2011 5:48 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan berusaha memastikan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, yang akan menjalankan fungsi seperti memaju, menyelaras dan menyelia pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, diwujudkan pada tahun ini juga.

    

Menterinya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata untuk tujuan itu, kementerian akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Parlimen pada tahun ini.

    

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan dan para pemilik serta pewaris tanah untuk melihat kawasan penempatan Melayu yang strategik dan bersejarah itu dibangunkan ke tahap maju dan menguntungkan, sesuai dengan kedudukannya di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur," katanya.

Raja Nong Chik berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih sempena istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Melawati, di Putrajaya.

Menteri itu berkata bacaan kali pertama rang undang-undang itu telah dibentangkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat  yang lalu.

Kawasan Kampung Baru yang berusia 110 tahun meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar dan kini didiami kira-kira 35,000 penduduk.

Pada istiadat itu, Tuanku Mizan berkenan menyampaikan  darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011 kepada 256 penerima.

    

Turut hadir ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    

Tahun ini merupakan kali keempat darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada individu-individu yang berjasa membangunkan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

    

- Bernama

ADS