Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Lebih 45,000 dipindah, teramai di Johor
Diterbitkan:  Feb 1, 2011 6:07 PM
Dikemaskini: 4:39 PM

Mangsa banjir di Johor menunjukkan berkurangan kepada 40,443 orang daripada 9,809 keluarga yang kini berada di 244 pusat pemindahan sehingga jam 2 petang ini.

    

Pagi tadi, lebih 45,000 mangsa daripada 11,104 keluarga berada di 267 pusat pemindahan.

    

Menurut laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor www.johordt.gov.my, mangsa teramai adalah di daerah Segamat iaitu 19,489 orang membabitkan 4,689 keluarga, diikuti Kluang dengan 7,680 orang daripada 2,044 keluarga.

    

Portal itu melaporkan seramai 95 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan di Johor Baharu, 2,374 orang (541 keluarga) di Muar, 2,757 orang (620 keluarga) di Batu Pahat dan 600 orang daripada 139 keluarga di Pontian.

    

Kota Tinggi pula mencatatkan 1,781 mangsa melibatkan 412 keluarga, Mersing (99 orang daripada 31 keluarga), Ledang (5,305 orang daripada 1,224 keluarga) dan Kulaijaya merekodkan 263 mangsa daripada 84 keluarga.

    

Menurut laporan portal itu, daripada 244 pusat pemindahan, 89 adalah di Segamat, Kluang (39), Johor Baharu (3), Muar (22), Batu Pahat (28), Pontian (10), Kota Tinggi (19), Mersing (1), Ledang (29) dan Kulaijaya (4).

    

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

    

Sementara itu, jalan yang masih ditutup di Segamat membabitkan Batu 8 di Jalan Muar-Segamat, jambatan Sungai Penarah di Km 63 Jalan Muar-Segamat, Km 196 Jalan Johor Baharu-Seremban (Batu 8, Sungai Merlimau) dan jalan masuk ke Felda Redong akibat jambatan runtuh.

    

Jalan yang ditutup di Kluang membabitkan Km 79 hingga Km 81 Jalan Kluang-Mersing dan Km 75 Jalan Kluang-Jemaluang.

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian  di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

    

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Melaka yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan meningkat kepada 4,101 orang sehingga pukul 7 malam ini berbanding 3,396 orang pada tengahari tadi.

   

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata mangsa banjir di Melaka kini paling ramai ditempatkan di daerah Melaka Tengah, meningkat kepada 2,114 di lapan pusat pemindahan berbanding hanya 49 orang dan sebuah pusat pemindahan semalam.

   

Keadaan banjir di daerah Jasin pula mulai surut dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan ialah seramai 419 orang.

Di Alor Gajah, banjir juga semakin surut dengan bilangan mangsa yang masih berada di tujuh pusat pemindahan ialah seramai 1,568 orang.

Mangsa banjir di Jasin dan Alor Gajah mula ditempatkan di pusat pemindahan sejak Ahad lepas manakala di Melaka Tengah, mangsa berpindah sejak semalam.

Cuaca cerah dilaporkan di seluruh negeri ini hari ini dan dijangka keadaan banjir akan bertambah baik di Alor Gajah dan Jasin, kata jurucakap itu lagi.

       

Di Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan ialah 1,254 orang daripada 309 keluarga manakala di daerah Melaka Tengah melibatkan 1,128 orang daripada 258 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

    

Cuaca dilaporkan cerah dan tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi ini di seluruh negeri ini.

    

Jurucakap itu berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan sejak pukul 9 malam tadi hingga 8 pagi ini.

    

Beliau berkata bantuan seperti makanan dan minuman telah dihantar ke pusat pemindahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala agensi lain seperti tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam pemindahan mangsa banjir.

    

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam melawat mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan tersebut bagi memastikan keperluan mereka mencukupi.

    

Jalan raya yang ditutup kepada semua kenderaan hanya di jalan Taman Merdeka, jalan Angkasa Nuri dan jalan Pasar Borong, yang kesemuanya terletak di Batu Berendam.

Di Labis, Sehari selepas pulang daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di Johor.

    

Perdana Menteri yang tiba di Labis tengah hari ini berkata, berdasarkan daripada taklimat yang diterimanya tentang keadaan terkini banjir di Johor, beliau diberitahu keadaan terburuk bagi bencana banjir di negeri ini telah

berlalu.

"Berdasarkan kepada taklimat, nampaknya (keadaan terburuk banjir di Johor telah berlalu), tetapi kita mesti berjaga-jaga. Keadaan cuaca terlibat, fenomena (cuaca) yang luar biasa itu telah beralih ke kawasan lain, ke arah selatan di kawasan perairan."

    

"Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas, di sini.

    

Cuaca panas terik dan cerah di Johor sejak pagi memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, walaupun lebih daripada 40,000 mangsa masih ditempat di pusat-pusat pemindahan seluruh negeri.

Menurut Perdana Menteri, bencana banjir yang melanda Johor disebabkan fenomena cuaca yang luar biasa di mana jumlah hujan yang diterima negeri itu dalam sehari bersamaan dengan jumlah diterimanya dalam dua bulan.

    

"Ia adalah suatu fenomena cuaca yang luar biasa, di mana jumlah hujan yang turun itu tidak dapat diduga," katanya sambil menambah, fenomena luar biasa itu disebabkan oleh faktor pemanasan iklim dunia.

    

Ditanya mengenai persediaan di dalam menangani bencana banjir di Johor, Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan tindakan pantas kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.

    

Katanya tindakan pantas operasi membantu mangsa banjir di Johor itu merupakan hasil kerjasama erat yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan pusat.

Usaha membantu mangsa-mangsa banjir itu termasuk, memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selimut, tikar serta bekalan perubatan dan rawatan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

    

Hasil tinjauannya di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, Najib berkata, mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan menikmati makanan segar seperti ikan, ayam dan daging.

Mengenai bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir di Johor, beliau berkata, ia akan diberikan kepada mangsa selepas ini bagi membantu mereka yang memerlukannya.

    

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan kadar wang ehsan itu mengikut formula yang telah ditentukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, sebanyak 20 platun anggota tentera berserta aset dan kelengkapan mereka telah dikerah bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir negeri Johor.

    

Dalam lawatan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor, turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.

    

Isteri Menteri Besar Johor, Prof Datuk Dr Jemilah Ariffin menerima sumbangan itu.

    

- Bernama

ADS