Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Helikopter hantar bekalan makanan mangsa banjir
Diterbitkan:  Feb 2, 2011 11:33 AM
Dikemaskini: 11:33 AM

Helikopter akan digunakan untuk operasi penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir di kawasan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan atau bot, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya tindakan itu adalah bagi menjamin bekalan makanan kepada mangsa banjir tidak terputus dan sampai ke tempat pada waktu yang diperlukan.

    

Bagaimanapun, katanya, belum ada laporan diterima dari mangsa banjir yang gagal menerima bantuan bekalan makanan daripada agensi kerajaan seperi Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kompleks Pekembar dan Dewan Serbaguna Pagoh di kawasan Parlimen Pagoh.

    

Ketika, ini lebih 43,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan di selruh negeri Johor.

Daerah Segamat merupakan antara daerah paling teruk dilanda banjir dengan lebih 21,000 penduduk dipindah ke pusat pemindahan diikuti Ledang (5,822), Batu Pahant (5,090), Muar (4,759) dan 4,135 penduduk di Kluang.

    

Muhyiddin berkata beliau telah meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas untuk memberi keutamaan kepada Johor bagi melaksanakan projek mendalam dan meluruskan sungai-sungai di negeri itu.

    

Katanya sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan untuk projek tebatan banjir di negeri itu dan telah dilakasanakan secara berperingkat.

    

Namun, Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berpendapat penyiapan projek tersebut perlu disegerakan setelah mengambil kira situasi yang berlaku sekarang.

    

Sebelum itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan cek sumbangan badan kebajikan TSM Charity Golf berjumlah RM30,000 kepada Tabung Banjir Pagoh.

Cek itu disampaikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Mustapha Buang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat.

Di Segamat, empat laluan di Segamat masih ditutup kepada orang ramai berikutan banjir dan jambatan runtuh.

    

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat berkata laluan tersebut adalah Segamat-Jementah yang ditutup ekoran jambatan runtuh dan tidak boleh dilalui orang ramai.

    

"Tiga laluan lain ditutup kerana dipenuhi air yang masih bertakung dan berbahaya untuk semua kenderaan membabitkan Segamat ke Buloh Kasap, Segamat ke Pogoh dan Bukit Kepong menghala Muar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Beliau berkata laluan di pusat bandar berjalan lancar dan hampir kesemua lampu isyarat utama berfungsi dengan baik menjelang sambutan Tahun Baru Cina esok.

    

Pengguna bagaimanapun dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang kemungkinan walaupun cuaca mulai bertambah baik hari ini, katanya.

Mangsa di Pahang meningkat

Sementara itu di Pahang, jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri itu meningkat kepada kepada 2,081 orang petang ini berbanding 1,941 orang pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Rompin masih merekodkan pemindahan tertinggi iaitu seramai 1,783 orang daripada 231 keluarga selepas lima buah perkampungan dilanda banjir.

Katanya, lima penempatan berkenaan ialah di Bukit Serok dengan seramai 1,514 orang diikuti Kampung Rekoh (168 orang), Kampung Kurnia Tanjung Gemok (83), Kampung Aur (12) dan Kampung Lubuk Batu (enam).

    

Daerah Temerloh pula katanya, melibatkan 298 mangsa daripada 83 keluarga selepas lima penempatan dilanda banjir iaitu Kampung Kampung Batu Kapor (159), Kampung Batu Kapor Bawah (46), Kampung Insaf (83), Kampung Sempadan (tujuh) dan Kampung Rantau Panjang (tiga).

    

Katanya, beberapa jalan turut ditutup kepada semua kenderaan melibatkan Jalan Kampung Inoi, jalan Kampung Baru Bukit Ibam, jambatan Sungai Gayong Kedaik, jambatan Tanjung Kerayong Mentakab dan jambatan Kampung Lubuk Batu Kota Bahagia di Rompin.

Sementara jalan di KM5 Felda Selancar, Rompin ditutup kepada kenderaan berat selepas berlaku tebing runtuh manakala Jalan Hwa Li Cenderawasih dan Jalan Lam Trading Cenderawasih hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, katanya.    

       

Selain itu katanya, jalan KM22 Kemayan-Risda di Bera hanya boleh dilalui kenderaan berat selepas dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Sementara itu, keadaan banjir di daerah Tampin dan Jempol di Negeri Sembilan semakin pulih dengan sebahagian besar mangsa banjir telah pulang ke rumah masing-masing petang ini.

    

Jurucakap bilik gerakan banjir berkata seramai 899 mangsa banjir daripada 218 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan di dua daerah itu setakat pukul 6 petang ini.

    

Katanya seramai 876 mangsa banjir daripada 213 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan di daerah Tampin, manakala daerah Jempol hanya terdapat satu pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Rompin yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Sementara itu, di Segamat, selepas kegiatan perniagaan di bandar Segamat lumpuh hampir tiga hari akibat banjir, pengusaha restoran, pekerja bank, stesen minyak serta penduduk dilihat mula membersihkan premis dan kawasan perumahan  masing-masing.

    

Tinjauan Bernama di sekitar bandar, taman perumahan dan kawasan kampung mendapati, mangsa banjir bertungkus-lumus membersih kawasan dan peralatan rumah termasuk perabot yang penuh diseliputi lumpur banjir.

    

Usaha mereka turut dibantu oleh pelbagai pihak seperti pasukan bomba dan penyelamat serta tentera.

    

Seorang pekerja bank, Lim Chwee Yan, 25, berkata hampir kesemua dokumen  berkaitan urusan bank itu basah dan ada yang dipercayai hilang dihanyutkan air banjir.

    

"Saya sedih melihat keadaan pejabat yang dipenuhi lumpur. Kami terpaksa mengemas peralatan, mengeringkan dokumen dan mencuci pejabat," katanya.

eorang lagi pekerja sebuah bank lain berkata urusan di banknya masih tergendala dan para pelanggan telah diminta untuk berurusan di cawangan lain seperti di Labis atau Jementah.

    

Seorang pekerja stesen minyak, Mustapa Surin, 55, berkata lebih 20 tong minyak hitam di premisnya didapati hilang.

    

Katanya cermin depan stesen minyak itu juga pecah akibat dilanda arus air yang deras.

    

"Selepas air surut, ada juga yang panjang tangan mengambil barangan di stesen ini," katanya.

    

Seorang doktor, Mak Choo Keong, 50-an, berkata kliniknya perlu dibersihkan dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari lagi untuk siap.

"Dokumen pesakit saya telah basah dan ada yang hilang. Peralatan termasuk mesin X-ray dan ultrasound sudah rosak," katanya.

    

Seorang ibu tunggal, Siti Zabedah Bardan, 38, bersyukur jirannya turut membantu membersihkan rumahnya di Kampung Padang Balang.

    

"Kami sekeluarga tidak mampu membersihkan rumah kami tanpa pertolongan jiran-jiran," katanya.

    

njir di Johor sejak minggu lepas menyebabkan hampir 40,000 penduduk terpaksa berpindah.

- Bernama

ADS