Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz hanya mahu debat dengan orang bertauliah
Diterbitkan:  Feb 6, 2011 4:17 PM
Dikemaskini: Feb 7, 2011 4:25 AM

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan beliau sedia berdebat tentang Islam dengan sesiapa saja, tetapi orang itu mestilah mempunyai kedudukan dan tauliah.

Nik Abdul Aziz lantas mempersoalkan kedudukan dan kredibilit Pengerusi Biro Agama Veteran Umno Kelantan, Prof Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau.

Dalam kenyataannya semalam, Mohd Nor menyatakan kegembiraannya kerana Nik Abdul Aziz menyahut cabarannya itu dan akan menghantar surat bagi tujuan itu dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai kenyataan Mohd Noor itu, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak melarang umatnya berdebat untuk mencari kebenaran dalam soal agama, malah ia digalakkan asalkan meletakkan al-Quran dan hadis sebagai "orang tengah".

“Saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja, asalkan mereka mempunyai tauliah dan ada kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Al-At’am, di Dataran Pasir Pekan, dekat Tumpat hari ini.

    

Menurutnya, isu perdebatan mengenai agama dengan ulama, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri sudah lama ditimbulkan tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Beliau juga bersetuju suatu kaedah berkesan dicari bagi mengelakkan ia menimbulkan kesan buruk hasil perdebatan itu.

“Bagaimanapun, saya mahu kaedah perdebatan itu dibuat secara terbuka... bagi membolehkan orang ramai mengetahui dengan jelas mengenai topik yang menjadi persoalan," katanya. 

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Kelantan menyokong debat antara Nik Abdul Aziz dengan pihak-pihak tertentu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Ulama Veteren Umno negeri itu, Prof Mohd Nor Deris.

Timbalan Pengerusi badan itu, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata debat itu termasuk dengan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi merungkai banyak kekeliruan yang ditimbulkan oleh menteri besar itu sebelum ini.

Mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz hari ini, Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata terserah kepada penganjur sama ada perdebatan itu diadakan secara langsung menerusi TV atau dalam dewan yang terkawal. 

--Bernama

ADS