Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS mahu debat disegerakan
Diterbitkan:  Feb 8, 2011 11:26 AM
Dikemaskini: 10:53 AM

Pemuda PAS menggesa cadangan supaya diadakan muzakarah atau perbincangan antara parti itu -  yang diwakili Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat - dengan Majlis Fatwa Kebangsaan disegerakan "bagi menjernihkan kekusutan dan menyelesaikan perselisihan yang berlaku".

NONE Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, ini kerana mereka yakin segala pertelingkahan mesti diselesaikan dengan menjadikan Al-Quran dan sunah sebagai asas penyelesaian.

"Ini sangat penting supaya kebenaran dapat ditegakkan dan memastikan sebarang kekeliruan, tohmahan serta fitnah dapat dipadamkan," kata Nasrudin.

Tegasnya, isu yang dibahaskan tidak harus hanya menyentuh satu dua perkara yang dibangkitkan Nik Aziz sahaja, tetapi tetapi masih banyak perkara lain yang menyentuh akidah perlu dimuzakarahkan.

Nasrudin juga berkata, Pemuda PAS turut mengalukan penyertaan ulama Umno dan mufti-mufti terlibat sama kerana perbincangan "platform terbaik" bagi rakyat menilai kebenarannya sesuatu perkara.

Ahad lalu, Nik Abdul Aziz menegaskan beliau sedia berdebat tentang Islam dengan sesiapa saja, tetapi orang itu mestilah mempunyai kedudukan dan tauliah.

Zambry terseret sekali

Katanya, Islam tidak melarang umatnya berdebat untuk mencari kebenaran dalam soal agama, malah ia digalakkan asalkan meletakkan al-Quran dan hadis sebagai "orang tengah".

“Saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja, asalkan mereka mempunyai tauliah dan ada kedudukan,” katanya.

NONE Dalam perkembangan berkaitan, isu debat itu kini turut melarat kepada perkembangan politik di Perak apabila menteri besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ( kanan ) pula diminta oleh Pemuda PAS negeri supaya bersemuka dengan Nik Aziz kerana mengkritik menteri besar Kelantan itu.

"Pemuda PAS Perak semenjak dari dulu lagi sentiasa menasihati Datuk Seri Zambry supaya lebih berani dan bertanggungjawab untuk bersemuka secara beradap dengan Datuk Nik Aziz bagi mempertahankan dan membuktikan tuduhan beliau, dan bukannya menggunakan pentas media bagi memburukkan imej Datuk Nik Aziz," katanya Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak Mohd Munir Ali.

Kelmarin, Zambry dilaporkan meminta Nik Aziz supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kekeliruan sekali gus perpecahan kepada umat Islam di negara ini.

Katanya, beliau percaya kenyataan yang  Nik Abdul Aziz itu - pada pilihan raya kecil Tenang bahawa tidak menyokong PAS adalah jahiliah - hanya bermotifkan politik berbanding kata-kata seorang tok guru.

ADS