Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomi M'sia tumbuh 7.2% tahun lalu
Diterbitkan:  Feb 18, 2011 5:50 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus untuk keseluruhan tahun lalu, berbanding dengan penguncupan -1.7 peratus pada 2009.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.8 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Ia diperkukuh oleh pemulihan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain eksport dan import yang cergas, lapor Bernama.

   

Kerajaan yang melaksanakan pakej rangsangan membabitkan peruntukan RM67 bilion dua tahun lepas untuk merangsang ekonomi yang teruk terjejas akibat kelembapan dunia, sebelum ini mengunjurkan keluaran dalam negara kasar berkembang lebih 6.0 peratus tahun lepas. Tahun ini, pertumbuhan dijangkakan antara 5.5 dan 6.0 peratus.

   

Bagaimanapun, kemasukan berterusan pelaburan langsung asing, kedudukan rizab yang kukuh di bank pusat, prestasi ringgit yang mencatat rekod, selain harga-harga komoditi yang tinggi, meningkatkan pertumbuhan dan membantu pemulihan tahun lepas.

   

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini berkata ekonomi berkembang 4.8 peratus pada suku keempat (Q4) berbanding 5.3 peratus pada suku ketiga, dipacu oleh permintaan domestik susulan perbelanjaan sektor awam dan swasta yang lebih tinggi.

   

Mengenai bekalan, semua sektor, kecuali sektor utama, terus berkembang sepanjang suku itu, kata bank pusat dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, ekonomi berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2010, diikuti pertumbuhan 8.9 peratus dan 10.1 peratus, masing-masing pada suku kedua dan pertama.

   

Mengikut sektor, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan sektor pembuatan melantun dengan ketara sebanyak 11.4 peratus pada 2010 daripada negatif 9.4 peratus pada 2009.

   

Sektor itu yang menyumbang 27.2 peratus daripada KDNK, berkembang 6.2 peratus pada Q4, dengan petroleum, kimia, getah dan produk plastik serta sunsektor produk plastik menjadi pemangkin utama dalam peningkatan pertumbuhan.

   

Bagi sektor perkhidmatan, ia meningkat 6.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2009.

   

Sektor itu mengukuh sebanyak 6.2 peratus pada Q4 berbanding 5.4 peratus pada  Q3, disokong sebahagian besar oleh perdagangan runcit dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor hartanah.

   

Pada tahun itu, sektor pertanian meningkat 1.7 peratus berbanding 0.4 peratus pada tahun sebelumnya, dengan suku akhir mencatat penguncupan 4.3 peratus yang berpunca daripada penurunan dalam minyak sawit dan subsektor perhutanan.

   

Bagi pembinaan, sektor itu merekodkan penurunan pertumbuhan 5.2 peratus pada 2010 berbanding 5.8 peratus pada 2009 dengan pertumbuhan suku akhir meningkat 5.6 peratus.

   

Sektor perlombongan dan kuari pula melantun 0.2 peratus daripada negatif  3.8 peratus pada 2009, dengan suku akhir merekodkan penurunan 1.3 peratus susulan pengurangan pengeluaran minyak mentah.

   

Mengenai permintaan, jabatan itu berkata pertumbuhan untuk perbelanjaan pengunaan akhir meningkat 5.3 peratus pada 2010 berbanding 1.2 peratus pada 2009, manakala Pembentukan Modal Tetap Kasar pulih kepada 9.4 peratus berbanding negatif 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

   

Pada 2010, eksport dan import menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 9.8 peratus dan 14.7 peratus.

   

Eksport berkembang 1.5 peratus pada Q4 disokong oleh produk berasaskan komoditi iaitu minyak pelincir dan bahan api mineral, minyak dan lelemak haiwan dan sayuran dan kimia, manakala import meningkat 3.3 peratus, dipacu oleh barangan modal dan perantaraan.

Berikut adalah kenyataan penuh Bank Negara Malaysia:

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.8% pada suku keempat 2010 Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.8% pada suku keempat 2010. Perbelanjaan sektor swasta dan awam yang lebih tinggi telah menyumbang kepada pengembangan permintaan dalam negeri. Namun, pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan telah mengakibatkan pertumbuhan permintaan luar negeri yang lebih lemah.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi, kecuali sektor komoditi utama, terus berkembang pada suku keempat. Bagi tahun 2010 secara keseluruhan, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 7.2% (2009:-1.7%). Permintaan dalam negeri meningkat lebih kukuh sebanyak 5.7% pada suku keempat (S3 10: 5%) disebabkan terutamanya oleh pengembangan yang ketara dalam penggunaan swasta dan perbelanjaan modal.

Penggunaan swasta meningkat sebanyak 6.5% (S3 10: 7.1%), disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, keyakinan pengguna yang positif dan tahap pendapatan yang lebih tinggi. Sebaliknya, penggunaan awam merosot sebanyak 0.3% (S3 10: -10.2%), disebabkan oleh perbelanjaan atas bekalan dan perkhidmatan yang lebih rendah.

Pembentukan modal tetap kasar meningkat sebanyak 9.2% (S3 10: 9.8%) didorong oleh perbelanjaan modal awam dan swasta. Perbelanjaan modal sektor swasta dipacu oleh pengembangan dalam pengeluaran industri berorientasikan dalam negeri dalam keadaan tahap penggunaan kapasiti yang tinggi. Pelaburan modal sektor awam meningkat berikutan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi, terutamanya dalam sektor pendidikan dan pengangkutan.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi, kecuali sektor komoditi utama terus mencatat pertumbuhan pada suku keempat. Pertumbuhan sektor perkhidmatan lebih tinggi pada 6.2% (S3 10: 5.4%) dengan pengembangan dalam kesemua subsektor, terutamanya hasil sokongan aktiviti ekonomi

dalam negeri. Sektor pembinaan juga berkembang dengan lebih pesat pada 5.6% (S3 10: 2.8%) mencerminkan pengembangan dalam subsektor bukan kediaman dan kejuruteraan awam.

Sektor perkilangan pula berkembang pada kadar lebih sederhana sebanyak 6.2% (S3 10: 7.5%) sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan luar negeri yang lebih lemah. Sebaliknya, sektor pertanian mencatat penguncupan sebanyak 4.3% (S3 10: 2.7%) berikutan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah. Sektor perlombongan merosot lagi (-1.3%; S3 10: -1%) disebabkan oleh kemerosotan dalam pengeluaran minyak mentah.

Kadar inflasi keseluruhan, seperti yang diukur melalui perubahan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), meningkat sebanyak 2% pada asas tahunan pada suku keempat (S3 10: 1.9%). Kenaikan inflasi disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga makanan dan minuman tanpa alkohol sebanyak 2.9%, dan pengangkutan (S4 10: 2.5%; S3 10: 2.1%), mencerminkan pemansuhan seterusnya terhadap subsidi bahan api oleh Kerajaan yang menyebabkan pelarasan kenaikan sebanyak 5 sen/liter terhadap harga petrol RON95 dan diesel.

Dalam sektor luaran, lebihan perdagangan meningkat kepada RM25.5 bilion pada suku keempat (S3 10: RM22.3 bilion). Eksport dan import kasar naik pada kadar yang lebih sederhana, masing-masing pada 3.7% dan 10.1% (S3 10: masing-masing 10.4% dan 16.5%), sejajar dengan penyederhanaan dalam ekonomi global.

Pertumbuhan eksport yang lebih perlahan ini disebabkan terutamanya oleh eksport keluaran perkilangan yang lebih rendah ekoran permintaan global terhadap elektronik yang semakin lembap. Sementara itu, pertumbuhan import kasar yang lebih sederhana mencerminkan terutamanya import barangan pengantara yang lebih rendah, manakala import barangan modal dan penggunaan adalah mapan berikutan permintaan dalam negeri yang semakin kukuh.

Pada asas tunai, aliran masuk pelaburan langsung asing (foreign direct Investment, FDI)* kasar adalah lebih tinggi pada RM11.8 bilion pada suku keempat (S3 10: +RM8.5 bilion). Ini mencerminkan terutamanya aliran masuk modal ekuiti yang lebih besar. Selepas pelarasan bagi aliran keluar kasar yang disebabkan oleh pembayaran balik pinjaman antara syarikat, FDI bersih meningkat kepada RM8.3 bilion (S3 10: +RM4.4 bilion).

FDI disalurkan terutamanya ke dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan perlombongan. Pelaburan dalam sektor perkhidmatan dibuat terutamanya oleh syarikat dalam subsektor kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan, serta subsektor perdagangan borong dan runcit. Dalam sektor perkilangan, FDI disalurkan ke dalam industri elektrik dan elektronik, serta industri berkaitan petroleum.

Pelaburan langsung luar negeri (DIA)* oleh syarikat Malaysia mencatat aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.2 bilion pada suku keempat (S3 10: RM-5.4 bilion) disebabkan oleh penurunan dalam pemberian pinjaman bersih antara syarikat kepada syarikat subsidiari di luar negeri.

Pelaburan tersebut dibuat oleh sektor perkhidmatan, khususnya dalam subsektor kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan, dan subsektor perdagangan borong dan runcit. Pelaburan yang besar juga dicatat dalam sektor minyak dan gas, serta pertanian. Pelaburan portfolio mencatat aliran masuk bersih yang lebih kecil sebanyak RM2.8 bilion pada suku keempat (S3 10: +RM9.8 bilion), disebabkan sebahagiannya oleh penjualan bersih sekuriti hutang asing pada bulan November berikutan tindak balas pelabur terhadap kebimbangan mengenai hutang kerajaan di kawasan euro.

Namun, pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang stabil terus menarik masuk dana asing ke dalam pasaran ekuiti dan bon domestik. Rizab

antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM328.6 bilion (bersamaan dengan USD106.5 bilion) pada 31 Disember 2010. Paras rizab ini telah mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perolehan daripada penilaian semula pertukaran asing, berikutan pengukuhan kebanyakan mata wang utama berbanding dengan ringgit pada suku keempat. Pada 31 Januari 2011, kedudukan rizab berjumlah RM333.5 bilion (bersamaan dengan USD108.1 bilion), memadai untuk membiayai 8.7 bulan import tertahan dan ialah 4.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Dasar monetari menyokong aktiviti ekonomi Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) kekal tidak berubah pada 2.75% pada suku keempat 2010 dan juga pada mesyuarat MPC pada 27 Januari 2011. Pada kadar semasa, OPR kekal akomodatif dan adalah wajar dan konsisten dengan penilaian prospek pertumbuhan dan inflasi.

Mencerminkan kadar OPR yang tidak berubah, kadar antara bank semalaman purata terus stabil. Dari segi kadar pinjaman bank perdagangan, kadar pinjaman purata turun sedikit berikutan pemberian satu pinjaman mata wang asing pada kadar pinjaman yang lebih rendah oleh sebuah institusi perbankan asing. Kadar deposit tetap (fixed deposit, FD) purata juga tidak berubah.

Keadaan pembiayaan terus menyokong aktiviti ekonomi. Permintaan terhadap pembiayaan daripada sektor awam dan swasta telah disokong oleh akses kepada pembiayaan yang berterusan, kos peminjaman yang agak rendah dan mudah tunai dalam sistem kewangan yang lebih daripada mencukupi. Jumlah pembiayaan kasar yang diperoleh sektor swasta melalui sistem perbankan dan pasaran modal meningkat kepada RM220.9 bilion pada suku keempat (S3 10: RM189.4 bilion).

Pada asas bersih, pinjaman sistem perbankan dan PDS terkumpul meningkat pada kadar tahunan 11.4% pada akhir bulan Disember (S3 10: 10.9%).

Penunjuk pinjaman utama terus kukuh pada suku keempat. Dana bersih yang diperoleh sektor awam dan swasta dalam pasaran modal berjumlah RM30.5 bilion (S3 10: RM16.8 bilion).

Dalam sektor swasta, aktiviti pemerolehan dana adalah terutamanya daripada pasaran bon. Dalam sektor awam, dana diperoleh melalui terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (Government Investment Issues, GII). Agregat monetari terus berkembang dengan mapan pada suku keempat.

Wang secara luas atau M3, berkembang pada kadar tahunan 7% pada akhir bulan Disember 2010 (S3 10: 8.5%).Pada suku keempat, ringgit menambah nilai sedikit (+0.1%) berbanding dengan dolar AS. Penambahan nilai ringgit pada akhir tahun berikutan pemulihan keyakinan terhadap

prospek pertumbuhan Asia pada amnya telah mengimbangi penurunan nilai ringgit pada bulan Oktober dan November dalam keadaan kegiatan penghindaran risiko yang lebih tinggi ekoran kebimbangan mengenai masalah hutang kerajaan di Eropah dan ketegangan di Semenanjung Korea. Ringgit juga menambah nilai berbanding dengan euro (+2.9%), paun sterling (+2.2%), namun menyusut nilai berbanding dengan yen Jepun (-2.4%).

Berbanding dengan mata wang serantau, ringgit pada amnya menyusut nilai dalam julat -0.1% hingga -1.7% kerana faktor-faktor khusus bagi negara-negara tersebut telah menyebabkan pengukuhan mata wang tersebut berbanding dengan ringgit.

Ringgit bagaimanapun menambah nilai sebanyak 0.7% berbanding dengan rupiah Indonesia. Kestabilan kewangan terus terpelihara Kestabilan kewangan berterusan sepanjang suku keempat disokong oleh institusi kewangan yang kukuh dan pasaran kewangan yang berfungsi dengan baik, yang terus menyokong pengantaraan kewangan dalam ekonomi dalam negeri.

Pada 3 November 2010, Bank Negara Malaysia memperkenalkan had maksimum bagi nisbah loan-to-value (LTV) pada 70% bagi kemudahan pembiayaan perumahan ketiga oleh seseorang peminjam. Matlamat pelaksanaan nisbah LTV ini adalah untuk menggalakkan pasaran harta tanah yang stabil dan mampan, serta memastikan orang ramai akan terus mampu untuk membeli rumah.

Sektor perbankan terus mempunyai daya tahan kewangan, dengan penampan modal yang kukuh melebihi RM60 bilion. Paras keberuntungan terus mapan berikutan pengembangan dalam aktiviti pemberian pinjaman yang menjana pulangan purata atas aset dan ekuiti masing-masing pada 1.5% dan 16.5%.

Pembiayaan adalah menyeluruh, dengan pembiayaan kepada sektor isi rumah dan PKS mencakupi kira-kira 70% daripada jumlah pembiayaan terkumpul. Permodalan adalah kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (risk-weighted capital ratio, RWCR) pada 14.6% dan nisbah modal teras (core capital ratio, CCR) pada 12.8%.

Sementara itu, paras pinjaman tak berbayar bersih (termasuk pembiayaan terjejas) bertambah baik sedikit untuk mencakupi 2% daripada jumlah pinjaman. Perlindungan kerugian pinjaman menjadi lebih kukuh kepada 99.5% lantas menyediakan penampan tambahan kepada sektor perbankan. Nisbah kecukupan modal bagi industri insurans ialah 225.7% (S3 10: 222.7%).

Bagi tahun 2010 secara keseluruhan, keuntungan syarikat insurans dan pengendali takaful meningkat kepada RM16.3 bilion (2009: RM14.6 bilion) disebabkan terutamanya oleh prestasi pelaburan yang lebih baik, serta pembayaran tuntutan yang lebih memuaskan dalam segmen perniagaan am dan juga perniagaan yang terus berkembang.

Pemulihan dijangka terus tidak sekata merentas rantau yang berbeza Melangkah ke hadapan, pemulihan ekonomi global dijangka terus tidak sekata merentas rantau yang berbeza. Meskipun prospek jangka pendek ekonomi maju telah menjadi bertambah baik baru-baru ini, masih lagi wujud ketidaktentuan berhubung dengan kedudukan fiskal yang lemah, pengangguran yang tinggi dan keadaan pemberian pinjaman yang terhad.

Sebaliknya, prospek pertumbuhan bagi Asia kekal menggalakkan, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh. Walau bagaimanapun, ekonomi serantau sedang berhadapan dengan cabaran tekanan inflasi yang makin meningkat, terutamanya daripada harga komoditi dan bahan api yang tinggi, serta aliran modal yang besar dan tidak menentu.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dipengaruhi oleh keadaan permintaan luar negeri yang semakin sederhana. Namun, pertumbuhan akan terus disokong oleh pengembangan pesat permintaan dalam negeri.

Perbelanjaan penggunaan swasta akan terus mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, harga komoditi yang teguh dan akses kepada pembiayaan. Aktiviti pembinaan dan infrastruktur yang dimulakan, serta program transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan memberikan sokongan yang besar kepada momentum pertumbuhan

pelaburan swasta.

 

 

 

ADS