Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Pelabuhan Klang: Masih ada peluang, kata MB
Diterbitkan:  Feb 19, 2011 8:29 PM
Dikemaskini: Feb 20, 2011 1:42 AM

Kerajaan Selangor optimis keputusan berhubung kedudukan kerusi DUN Pelabuhan Klang akan berpihak kepada mereka walaupun mahkamah sudah memutuskan Badrul Hisham Abdullah masih wakil rakyat yang sah.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini dibuat tanpa kehadiran peguam kerajaan negeri.

"Perkara itu akan dibuat rayuan oleh Speaker kerana pada masa tersebut, perwakilan atau peguam dari pihak kerajaan negeri dan (speaker) Datuk Teng Chang Kim tidak menyertainya.

"Jadi kita mempunyai peluang untuk tetapkan masa keputusan dalam satu perbicaraan yang akan datang," katanya kepada pemberita, hari ini.

Khamis lalu, mahkamah membatalkan pengisytiharan speaker DUN Selangor mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Hakim Zaleha Yusof menerima hujah berdasarkan kepada saman pemula Badrul Hisham dan memutuskan bahawa pengisytiharan kekosongan kerusi tersebut adalah tidak sah.

Speaker Datuk Teng Chang Khim akan memfailkan permohonan menerusi peguamnya bagi mengetepikan keputusan mahkamah minggu hadapan.

Teng sebelum ini, mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang itu pada 19 Januari lalu.

Menurut Teng, Badrul Hisham, tidak menghadiri sidang dewan tanpa cuti selama lebih kurang enam bulan sejak bulan 16 Julai tahun lalu.

Mengikut Perlembagaan Selangor, kerusi DUN dianggap kosong jika wakil rakyatnya tidak hadir sidang dewan tanpa cuti selama enam bulan.

Sementara itu, Khalid sebelum itu menyerahkan surat kelulusan pemberimilikan tanah (notis 5A) dengan nilai premium baru kepada 117 penduduk Kampung Gombak Setia.

ADS