Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah: Perjanjian SYABAS kekal sulit
Diterbitkan:  Feb 25, 2011 1:24 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Sekaligus, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu menetapkan supaya dokumen berkenaan tidak didedahkan.

Dokumen berkenaan melibatkan perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan juga satu laporan audit yang menjustifikasi kenaikan tarif air oleh syarikat itu.

Panel rayuan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaleha Zahari. Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus.

Ahli parlimen Klang Charles Santiago yang menghadiri prosiding itu berkata, kedua-dua Zaleha dan Abu Samah menerima rayuan oleh kerajaan Malaysia dan berpendirian bahawa responden berkenaan tidak mempunyai lokus standi dalam kes itu.

Bagaimanapun, Mohd Hishamudin dalam keputusannya berpandangan bahawa responden berkenaan berhak diberikan akses kepada dokumen berkenaan kerana kerajaan patut bertanggungjawab ke atas urus tadbir yang baik, kata Santiago lagi.

Santiago juga berkata, Hishamudin turut menekankan bahawa kerajaan juga perlu bertanggungjawab memandangkan peningkatan dalam tarif air akan membebankan rakyat.

Keputusan itu dibuat ke atas rayuan oleh menteri dan kerajaan Malaysia ke atas satu semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun, 2008.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu membenarkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan 13 individu lain mengakses dokumen berkenaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hakim Zaleha yang mengetuai panel rayuan tersebut, berpendapat kandungan dalam dua dokumen itu tidak boleh didedahkan kepada pihak responden.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tersebut menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan kerajaan persekutuan mengumumkan kepada orang ramai laporan audit dan perjanjian konsesi air yang dimeterai dengan kerajaan negeri Selangor dan Syabas.

   

Hakim Zaleha dan Abu Samah menerima rayuan kerajaan persekutuan membantah keputusan Mahkamah Tinggi itu manakala Mohd Hishamudin menentang.

Dalam penghakimannya, Zaleha berkata responden berkenaan tidak terjejas teruk dengan keputusan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Lim Keng Yaik, menafikan mereka untuk mengakses dua dokumen berkenaan.

   

Zaleha berkata majoriti panel berpendapat 13 responden tidak mempunyai 'locus standi' (tidak mempunyai hak) untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan menteri tidak membenarkan mereka akses kepada dokumen tersebut.

   

Katanya isu di hadapan mahkamah bukan mengenai penafian bekalan air tetapi minat responden berhubung kenaikan tarif air oleh syarikat itu.

   

Beliau juga memutuskan bahawa MTUC gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai hak asasi atau hak undang-undang terhadap perjanjian konsesi air dan laporan audit itu.

   

"Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam membenarkan permohonan MTUC dan 13 pengguna air," kata Zaleha, yang memerintahkan responden membayar kos mahkamah sebanyak RM5,000 selepas membenarkan permohonan mereka supaya membayar kos minima bagi prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi kerana isu itu

adalah kepentingan awam.

Hakim Hishamudin berkata beliau berpendapat responden berkenaan berhak diberikan akses kepada dokumen tersebut kerana air merupakan keperluan asas dalam hidup.

Hishamudin berkata sekiranya ada kenaikan tarif air maka ia seharusnya sangat kecil dan berkemampuan oleh rakyat.

   

"Penentuan kadar tarif perlu telus. Urus tadbir yang baik memerlukan ketelusan. Pengguna air mempunyai harapan untuk mengetahui proses terbabit dalam menentukan kenaikan tarif," katanya yang mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

   

Katanya tidak ada asas untuk menteri tidak membenarkan pendedahan dokumen itu kerana laporan audit tidak pernah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

   

Katanya laporan audit itu tidak boleh diklasifikasikan hanya semata-mata ia dibincangkan oleh Kabinet kecuali Kabinet membuat keputusan untuk berbuat demikian tetapi dalam kes ini, Kabinet tidak memutuskan sedemikian.

   

Hishamudin bekata Mahkamah Tinggi telah meneliti laporan konsesi tersebut dan membuat kesimpulan bahawa pendedahan dokumen itu tidak akan mengancam keselamatan negara.

Katanya perjanjian konsesi itu juga menyebut bahawa pihak-pihak yang terbabit dalam perjanjian itu boleh bersepakat untuk mendedahkan perjanjian itu kepada pihak ketiga, sambil menjelaskan Syabas dan kerajaan negeri Selangor tidak membantah kepada pendedahan tersebut.

   

MTUC dan 13 pihak lain termasuk bekas pengerusinya Syed Sharir Syed Mohamud dan dua anaknya berusia 10 dan 15 tahun, mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi pada 14 Jun 2007 bagi memperoleh semakan semula penghakiman terhadap keengganan menteri untuk membenarkan mereka mengakses kepada dokumen berkenaan.

   

Mereka berkata sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka berhak mendapatkan laporan audit dan perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 15 Disember 2004.

   

Mereka mendakwa laporan audit itu menjadi asas kepada kenaikan 15 peratus tarif air di Lembah Klang seperti diumumkan pada 14 Oktober, 2006.

   

Menteri berkenaan telah menafikan permintaan mereka untuk mendedahkan dokumen itu kepada umum atas alasan dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia dan sulit.

Pada 28 Jun tahun lepas, Pesurujaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail membenarkan permohonan mereka dengan memutuskan pendedahakan dokumen itu tidak menjejaskan kepentingan negara atau orang awam.

   

Peguam pihak responden, Ang Hean Leng, berkata mereka akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

   

Bagaimanapun,  mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

ADS