Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nota 'selamat tinggal' diserah kepada Squires
Diterbitkan:  Feb 28, 2011 7:09 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Nota 'selamat tinggal' tulisan tangan Teoh Beng Hock telah diserahkan kepada pegawai penyiasat yang dilantik Khamis lalu oleh Suruhanjaya Siasatan berkaitan punca kematian setiausaha politik anggota exco Selangor itu.

teoh beng hock note 200910 01 Pengerusi suruhanjaya itu Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata Michael Leslie Squires akan memaklumkan hasil siasatannya tidak lama lagi.

Pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Wong Kong Yong mengesahkan sebahagian tulisan Bahasa Malaysia pada nota yang ditemui dalam beg sandang Teoh dan tulisan di buku nota lelaki itu dimiliki orang yang sama.

Wong berkata selepas diperiksa, beliau mendapati kedua-dua contoh tulisan Cina menunjukkan sebahagian persamaan ciri penulisan dan besar kemungkinan  ditulis oleh orang yang sama.

Nota itu, yang dikemukakan selepas setahun prosiding inkues berjalan, ditemui pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal dan  diterjemah oleh jurubahasa Mandarin.

azlan Pada prosiding hari ini, Hakim Foong turut memaklumkan Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand dan Pakar Forensik British Profesor Dr Peter Vanezis akan memberi keterangan dalam bulan Mac.

Sementara itu, Pemangku Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azian Omar berkata SPRM tidak mempunyai satu garis panduan mengenai had masa ketika menyoal saksi.

Beliau berkata sudah menjadi kebiasaan pegawai penyiasat menyoal saksi pada waktu malam hingga awal pagi di pejabat mereka dan jika melibatkan suspek, ia dijalankan sebelah siang kerana suspek perlu dihantar ke lokap sebelum 7 malam.

Bagi saksi pula, mereka disoal tanpa mengira waktu kerana ada yang memilih untuk tidak memaklumkannya kepada majikan bagi mendapat pelepasan waktu kerja.

NONE Menceritakan lebih lanjut tentang kaedah menyoal siasat saksi, Azian berkata ada sesetengah pegawai penyiasat berbuat demikian di bilik mesyuarat, pejabat dan ruang tamu.

Beliau berkata kebanyakan saksi memilih menghabiskan kenyataan mereka pada hari yang sama supaya tidak perlu datang berulang kali ke pejabat SPRM, namun bagi kes tertentu, ada saksi tidak digalakkan pulang awal bagi mengelakkannya mereka-reka cerita selepas itu.

Azian berkata tugas pegawai SPRM berbeza dengan polis kerana melibatkan banyak dokumen selain mengambil masa yang lama.

Mengenai tindakan sesetengah saksi berehat di pejabat SPRM dan tidak pulang walaupun telah diberi kebenaran, beliau berkata ia perkara biasa malah beliau sendiri pernah melihat saksi tidur di sofa pejabatnya.

Terdahulu, Azian berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed telah memarahi pegawai suruhanjaya itu pada hari kejadian dan mendesak diberitahu perkara sebenar yang berlaku.

Bagaimanapun, katanya, kakitangan yang berada di situ hanya mendiamkan diri kerana mereka tidak berada di pejabat ketika kejadian dan tidak terlibat dalam siasatan ke atas Teoh.

Ketika kejadian, Azian bertugas di bawah pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail dan beliau merupakan orang yang menyerahkan salinan kad pengenalan Teoh selepas diarah berbuat demikian.

teoh beng hock royal commission first meeting 290111 james foong Selain Foong, Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding disambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS