Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Askar tamat perkhidmatan ditawar sertai polis
Diterbitkan:  Mar 3, 2011 6:38 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang menamatkan perkhidmatan, akan ditawarkan untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, penyerapan jawatan ke dalam PDRM selepas tamat tempoh perkhidmatan selama 21 tahun itu adalah usaha transformasi kerajaan dalam menjamin keselamatan negara dan kebajikan bekas tentera.

"Di bawah program transformasi, kita (ATM) menjalinkan hubungan dengan PDRM dengan mengadakan penyerapan jawatan selepas tamat tempoh perkhidmatan tentera terutama di kalangan lain-lain pangkat untuk berkhidmat dalam PDRM," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Pertahanan bersama veteran ATM dan keluarga di Dataran Ketumbit di Temerloh, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini, seramai 400 bekas tentera memohon untuk menyertai PDRM.

Beliau berkata, program itu adalah satu daripada lima bidang kerjasama membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan negara.

Katanya, ATM-PDRM turut menjalin kerjasama melalui program kawalan sejak November tahun lalu dengan projek perintisnya bermula di 15 kawasan rondaan yang sudah dikenal pasti.

Ahmad Zahid berkata, dua pusat latihan ATM juga digunakan untuk melatih rekrut polis serta mengadakan program bersama untuk memantapkan kerjasama itu.

Selain itu, ATM turut mengambil alih tugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di 89 depot sempadan.

"Diharap kerjasama ini akan memberikan kesan dalam memerangi jenayah, polis diberi tugas menangani jenayah berat, tugas-tugas lain dijalankan ATM," katanya.

 - Bernama

ADS