Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Satu jawatankuasa pilihan khas telah membuat penambahbaikan utama ke atas rang undang-undang kebebasan maklumat Selangor (FOI) bagi menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri ke atas maklumat di bawah kuasa jabatan kerajaan.

Pengerusi jawatankuasa itu Saari Sungib berkata, penambahbaikan utama itu menjelaskan bahawa kerajaan negeri berhak ke atas semua maklumat yang dipegang oleh jabatan di bawah bidang kuasa Selangor.

Selain itu juga, penambahbaikan itu meluaskan definisi jabatan kerajaan supaya turut merangkumi organisasi "yang berurusan dengan kepentingan negeri Selangor," katanya.

"Jabatan didefinisikan sebagai segala yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri, bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga syarikat berkaitan kerajaan.

"Dahulunya jabatan ini berada bawah kuasa SUK (setiausaha kerajaan negeri), tapi sekarang merangkumi semua yang berada bawah SUK dan PBT," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau memberi contoh hak ke atas maklumat yang dipegang Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang sebelum ini tidak tertakluk bawah kuasa kerajaan negeri melalui rang undang-undang yang dibentangkan sebelum ini.

"SYABAS bukan jabatan dan bukan syarikat berkaitan kerajaan Selangor tapi berususan dengan kepentingan selangor, jadi kita juga memberi maksud bahawa Syabas tertakluk kepada enakmen ini.

"Jika ada masalah nanti, boleh dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan. Kalau pada awal lagi kita hadkan bidang kuasa enakmen ini, susah (untuk dikuatkuasakan)," katanya lagi.

Selain itu, definisi berkenaan akan turut merangkumi jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya yang turut mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Contohnya JKR ini jabatan pertama antara persekutuan dengan negeri di mana 30 peratus daripada peruntukan JKR negeri adalah daripada bajet kerajaan negeri.

"Peruntukan ini melibatkan pembayaran gaji, emolumen dan juga projek-projek kecil. Jadi kalau awal-awal kita kata JKR tidak tertakluk kepada kerajaan negeri, tidak bolehlah," kata Saari lagi yang juga ADUN Hulu Kelang.

Katanya lagi, rang undang-undang itu telahpun selesai dikaji oleh jawatankuasa pilihan khas tersebut hari ini dan perundingan awam juga telah diadakan.

Rang undang-undang itu akan dirujuk ke jawatankuasa DUN Selangor untuk bacaan kali ketiga pada 28 Mac dalam sidang akan datang.

ADS