Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seorang pelatih Pulapol meninggal, 308 dikuarantin
Diterbitkan:  Mar 10, 2011 6:32 PM
Dikemaskini: 11:24 AM

Seramai 308 pelatih Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kini dikuarantin berikutan kematian seorang rakan mereka dua hari lepas akibat virus Adenovirus, sejenis jangkitan pada pernafasan.

    

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tiga pelatih masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala 23 lagi kini ditempatkan di wad biasa.

    

"Kementerian belum menemui punca sebenar bagaimana virus tersebut wujud dan boleh merebak di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jalinan Kasih 1Malaysia bagi penghuni di Penjara Bentong dekat Bentong hari ini. Liow adalah juga ahli parlimen Bentong.

    

Beliau meminta pengurusan pusat latihan polis, penjara, tentera dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya meningkatkan penjagaan kebersihan di kawasan mereka.

Liow juga berkata Kementerian Kesihatan akan membawa masuk 200 doktor pakar dari Mesir, India dan Bangladesh bagi mengisi kekosongan jawatan doktor pakar di negara tahun ini.     

    

Katanya, setakat ini hanya terdapat 2,500 doktor pakar yang ditempatkan di hospital-hospital utama di seluruh negara.

    

"Sekarang ini hospital utama seperti Kuantan, Temerloh, HKL dan beberapahospital di ibu negeri mengalami kesesakan kerana ramai pesakit ingin mendapatkan rawatan daripada doktor pakar," katanya.

    

Beliau berkata dengan adanya doktor pakar di hospital daerah, masalah kesesakan yang berlaku di hospital-hospital utama akan dapat diatasi.

- Bernama

ADS