Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timur Honshu pula digegarkan
Diterbitkan:  Mar 12, 2011 11:46 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Satu gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter di perairan timur Honshu, Jepun pada pukul 9.47 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi adalah di 292 km dari timur laut Tokyo dan 4,243 km dari timur laut Kudat di Sabah.

NONE Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia dan jabatan sedang memantau perkembangan berkenaan.

AFP pula melaporkan gempa susulan hari ini, berlaku kurang 24 jam selepas negara terbabit mengalami gempa bumi teruk yang mengakibatkan tsunami.

Jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata ia dicatatkan pada kedalaman 24 kilometer, di tengah timur-tenggara bandar Sendai.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Kedutaan Malaysia di Tokyo sentiasa berhubung dengan rakyat dan penuntut Malaysia di kawasan yang terjejas teruk dengan kejadian gempa bumi di Jepun.

Setakat pukul 6 pagi hari ini (waktu Tokyo) kedutaan telah menghubungi 289 rakyat Malaysia di kebanyakan wilayah yang terbabit dengan gempa itu di Jepun.

Belum ada laporan rakyat Malaysia terbunuh

Kedutaan Malaysia juga menghubungi rakyat Malaysia di kawasan lain di Jepun yang kurang terjejas dengan kejadian itu.

Menurut satu kenyataan Kementerian Luar di Kuala Lumpur, hari ini, setakat ini semua rakyat Malaysia selamat dan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan.

NONE "Rakyat Malaysia di kebanyakan kawasan yang teruk terjejas juga telah berpindah ke kawasan selamat yang disediakan pihak berkuasa Jepun. Laporan menunjukkan bahawa pihak berkuasa Jepun menangani keadaan itu dengan mengambil pelbagai langkah yang sewajarnya," kata kenyataan itu.

Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan timur laut Jepun tengah hari semalam mengakibatkan sehingga 1,000 orang terbunuh.

Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Tokyo kini memantau perkembangan di negara itu.

Kedutaan Malaysia juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan perkembangan situasi terkini dan sebarang pemakluman.

NONE Kenyataan itu berkata Bilik Operasi di Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Tokyo kini beroperasi 24 jam sehingga dimaklumkan.

Sementara itu,  di Filiina lebih 55,000 penduduknya yang tinggal di pesisir timur pantai negara itu pulang ke rumah masing-masing selepas ancaman tsunami susulan gempa teruk di Jepun ditarik balik.

Semalam, kerajaan Filipina mengarahkan penduduk yang tinggal di tepi laut meninggalkan kediaman mereka.

Selain Filipina, kira-kira lebih 50 buah negara, termasuk Malaysia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan gempa terkuat dalam tempoh 140 tahun yang menggegarkan Jepun dan  mencetuskan tsunami lebih 10 meter yang kini dikhuatiri mengorbankan lebih 1,000 nyawa setakat ini.

ADS