Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Sistem pilihan raya di M'sia berwibawa
Diterbitkan:  Mar 16, 2011 6:04 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Sistem pilihan raya yang diguna pakai sekarang adalah berwibawa berdasarkan kejayaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan 12 pilihan raya umum sejak 1959, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

NONE Beliau berkata keputusan-keputusan pilihan raya telah diterima secara sah oleh semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang yang telah membawa kepada pembentukan kerajaan yang diiktiraf.

"Bagaimanapun ini tidak bermakna tiada ruang untuk melakukan reformasi dan transformasi dalam sistem sedia ada.

"Bahkan SPR sentiasa responsif terhadap perubahan semasa dengan melakukan proses rekayasa menerusi usaha pengupayaan dan penambahbaikan dalam pengurusan operasinya demi untuk memperkasakan sistem pilihan raya, sekali gus demokrasi Malaysia," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kok bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan reformasi atau transformasi di institusi Parlimen dan SPR, serta sebab kerajaan enggan mengadakan sistem jawatankuasa dalam Parlimen supaya Anggota Parlimen diberikan tugas untuk membuat keputusan dalam penggubalan dasar negara.

Mohamed Nazri berkata sebarang usaha itu perlu berpandukan kepada asas Perlembagaan Persekutuan dan lunas demokrasi negara.

NONE Katanya SPR sentiasa memperkemaskan undang-undang, peraturan dan garis panduan yang dapat mempertingkatkan lagi kewibawaan suruhanjaya itu iaitu secara berterusan mengkaji semula dan menambah baik undang-undang dan peraturan serta Dasar Pilihan Raya agar ia sejajar dengan kehendak demokrasi dan amalan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"SPR turut memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan Pengurusan Pilihan Raya dengan memberi lebih ruang, peluang dan kemudahan kepada semua lapisan masyarakat dengan mempelbagaikan saluran pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih dan juga memperkemas kini pengurusan pengendalian serta perjalanan pilihan raya," katanya.

NONE Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak bercadang untuk membuat reformasi dan transformasi terhadap institusi Parlimen.

"Berhubung dengan penubuhan sistem jawatankuasa, kerajaan berpandangan bahawa sistem dan prosedur sedia ada adalah memadai bagi Ahli Parlimen mengemukakan sebarang cadangan dalam membuat keputusan dalam penggubalan dasar negara," katanya.

- Bernama

ADS