Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sukar tentukan siapa bersalah'
Diterbitkan:  Mar 17, 2011 6:58 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Seorang pemangku penolong pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau tidak mengetahui siapa yang perlu dipertanggungjawabkan atas kematian setiausaha politik kepada exco Selangor itu.

Hairul Ilham Hamzah berkata beliau sukar untuk menentukan pihak yang harus bertanggungjawab dan menyerahkan kepada suruhanjaya untuk membuat keputusan.

Ketika disoal peguam Cheow Wee dari Majlis Peguam sama ada beliau (Hairul Ilham), Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim dan pegawai penyiasat SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail yang harus bertanggungjawab dalam kejadian itu, Hairul Ilham berkata: "Saya susah nak jawab siapa yang patut dipersalahkan."

Hairul Ilham turut menafikan dakwaan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T Selventhiranathan yang menyatakan beliau cuba lari selepas mengetahui tentang kematian Teoh.

"Saya tidak lari tetapi saya mendapat arahan daripada Hishamuddin untuk pergi ke Putrajaya bersama Mohd Anuar bagi berbincang mengenai perkara itu," katanya.

Hairul Ilham berkata beliau tidak mengetahui Mohd Anuar mahu singgah sebentar ke rumahnya untuk berjumpa keluarga dalam perjalanan ke Putrajaya sedangkan isterinya bekerja di SPRM Putrajaya pada waktu itu.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

Hairul Ilham, yang juga saksi ke-22 suruhanjaya itu turut menafikan pihak SPRM menahan Teoh pada hari disoal siasat iaitu malam 15 Julai 2009 dan awal pagi 16 Julai 2009.

"Saya hanya dimaklumkan oleh Mohd Anuar rakaman percakapan yang dibuat oleh Mohd Nazri Ibrahim telah tamat dan perkara itu dimaklumkan ketika taklimat bersama Hishamuddin pada jam 9 pagi hingga 10 pagi, 16 Julai 2009," katanya.

Selain itu, Hairul Ilham turut memberitahu pada prosiding suruhanjaya hari ini beliau hanya menggunakan ingatan untuk menulis diari penyiasatan (ID).

Ketika disoal Cheow Wee adakah menjadi kelaziman pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan tidak mencatatkan maklumat yang diperolehi ketika soal siasat dan hanya berdasarkan ingatan sahaja, Hairul Ilham berkata: "Ya, benar".

Ketika disoal pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri

James Foong Cheng Yuen, apakah cadangan untuk menambahbaikkan SPRM di masa hadapan?, Hairul Ilham berkata: "Kalau boleh setiap pegawai SPRM dibekalkan dengan buku poket seperti mana digunakan oleh pegawai polis ketika siasatan dijalankan dan telefon pintar seperti BlackBerry".

Suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T Selventhiranathan Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding bersambung Isnin ini.

- Bernama

ADS