Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semua naskah al-Quran yang dicetak dengan tulisan rasm Uthmani yang dijual di pasaran di negara ini mempunyai nombor siri dan cop kementerian dalam negeri (KDN).

Nombor siri dan cop KDN itu terdapat pada halaman dua terakhir naskah al-Quran.

NONE Malah, nashkah terjemahannya yang dipasarkan di negara ini turut mempunyai nombor siri dan cop kebenaran KDN.

Cop KDN itu berbunyi: Lembaga Pengawalan Pelesenan Pencetakan al-Quran memperakui ayat-ayat yang terkandung dalam teks ini adalah betul.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa buah kedai di ibu negara mendapati peniaga kini tidak lagi menjual naskah 'tidak rasmi" seperti 'Al-Quran Al-Majid atau Imla'i yang kebanyakannya digunakan di Pakistan, India, Indonesia dan Iraq.

"Dibolehkan menjual hanya al-Quran rasm Uthmani sahaja, jenis lain seperti Al-Quran Al Majid atau Imla'i tidak dibenarkan oleh kementerian," kata pemilik Pustaka Rezeki Harapan Gusman Nurmawan.

Menurutnya, penguatkuasaan penggunaan al-Quran rasm Uthmani sahaja dibuat sejak lebih 10 tahun lalu, dan sejak itu beliau menjual kitab suci itu sepertimana yang diarahkan oleh kerajaan.

NONE Jelasnya, beliau membuat tempahan daripada penerbit tempatan seperti ASN Nordin di Kuala Lumpur dan Percetakan AlMuarif Sdn Bhd di Pulau Pinang.

Semalam KDN dilapor mempertahankan keputusan meletakkan cop KDN pada Al-Kitab yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Kuching, dengan mengatakan bahawa ia adalah satu amalan lazim dan tiada sebarang niat untuk merosakkan kitab Injil tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia berdasarkan amalan sebelum ini yang dilakukan termasuk semasa pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi

Malah Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Mahmood Adam dilaporkan berkata Al-Quran juga turut diletakkan nombor siri dan cop kementerian berkenaan.

Mengulas lanjut, Gusman turut menjelaskan pihaknya juga menjual terjemahan al-Quran rasm Uthmani yang bertajuk "Tafsir Pimpinan Al-Rahman" yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan 'Terjemahan Al-Hidayah" oleh House Of Al-Quran di Batu Caves Selangor.

Beliau berkata pihaknya juga sebelum ini pernah menerima notis daripada KDN melarang beliau mempamerkan Al-Quran Al-Majid atau Imla'i.

NONE Gusman berkata, pihaknya akur dengan arahan kementerian itu dan menjelaskan setiap tiga bulan, pegawai KDN akan datang ke premis mereka dan sekitarnya untuk membuat pemantauan.

Sementara itu, seorang peniaga lagi yang enggan namanya disebut, memberitahu Malaysiakini, walaupun pihaknya kini tidak menjual naskah selain rasm Uthmani tetapi ramai pembeli bertanyakan Al-Quran Al-Majid atau Imla'i.

"Apa yang disyorkan adalah jenis rasm Uthmani, tetapi masih ada pembeli atau ustaz-ustaz yang bertanya (untuk membeli) Al-Quran Al-Majid atau Imla'i ," katanya.

ADS