Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan dakwa 7,243 hektar tanah Orang Asli 'dipunggah'
Diterbitkan:  Mar 19, 2011 4:10 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor didakwa 'memunggah' hasil Orang Asli di kawasan seluas 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12 dekat Kuala Langat yang sebahagian besarnya terletak dalam tanah hutan simpan.

Tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun - yang diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927 - kini menjadi rebutan pelbagai syarikat kerajaan negeri, lapor Utusan Malaysia.

Akhbar Umno yang tampil dengan wajah barunya hari ini juga memuatkan laporan "ekslusif" yang melaporkan, ada antara tanah terlibat diserahkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan Orang Asli.

"Ini termasuk bekas lombong Petaling Tin Bhd yang dikatakan sudah diberi milik kepada sebuah syarikat kerajaan negeri tetapi telah dijual pula kepada pihak ketiga.," laporan itu dipetik.

Mukim Tanjung 12 membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.

Dipercayai Mukim Tanjung 12 adalah satu-satunya kawasan segi tiga berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya yang begitu kaya dengan hasil galian termasuk logam berharga sehingga menyebabkan ia menjadi rebutan pelbagai pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, media rasmi negeri TV Selangor pula hari ini tampil dengan laporannya yang menyifatkan penyiaran berita itu sebagai "taktik lapok" Umno.

Memetik pandangan anggota parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, laman berita dan video dalam talian itu mendakwa Utusan sengaja mahu mencemarkan imej kepimpinan Pakatan.

"Pakatan Rakyat tidak pernah mengambil seinci pun tanah orang awam terutama sekali tanah-tanah adat malah kita beri mereka hak pemilikan tanah ini," wakil rakyat PKR itu dipetik sebagai berkata.

Malah, Abdullah turut mencabar Umno mendakwa pemimpin Pakatan menerusi Suruhanjaya Pencegaran Rasuah Malaysia (SPRM).

ADS