Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Angkuh' dengan kompromi, NGO Islam kesal
Diterbitkan:  Mar 19, 2011 5:52 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

NGO Islam yang bergabung dalam Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyatakan kekesalannya terhadap kenyataan "angkuh dan kasar" beberapa pemimpin dalam 'kemelut' penahanan Injil berbahasa Melayu sebelum ini.

Sedangkan, menyinggung langsung pada MCA dan Persekutuan Kritian Malaysia (CFM), PEMBELA berkata, kerajaan sudah berkompromi untuk menyelesaikan perkara itu dengan memberikan "tawaran bersyarat".

"Sikap sebegini adalah tidak patriotik dan sangat tidak sihat bagi keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) A Karim Omar bagi pihak PEMBELA.

"PEMBELA berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu bertegas terhadap mana-mana pihak yang terlalu provokatif dalam isu-isu seumpama ini dan perlu memastikan keharmonian di antara kaum yang dikecapi selama ini tidak terjejas hanya kerana tuntutan sempit dan tindakan liar pihak-pihak tertentu."

Gabungan itu - yang turut dianggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang - mengingatkan pemimpin politik, agama dan masyarakat awam supaya menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Pelbagai usaha, khususnya menjelang pilihan raya kecil dan pilihan raya Sarawak yang jelas akan menerbitkan provokasi agama dengan tujuan politik sebenarnya hanya akan mengundang padah kepada kestabilan dan keutuhan negara.

"Provokasi di dalam hal-hal berkaitan sensitiviti keagamaan dan tindakan-tindakan tersebut memungkinkan reaksi yang keterlaluan dan emosional dari pihak penganut Islam mahupun yang bukan Islam," katanya.

A Karim juga perpandangan, persoalan yang lebih mendasar dalam soal pelepasan Bible berbahasa Melayu ialah penggunaan istilah-istilah khusus dalam akidah Islam kepada makna dalam Kristian yang boleh mengubah makna  serta mengelirukan.

ADS