Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini tampil mempertahankan pasukan polis, dengan mencabar pembangkang membuktikan bahawa polis bersubahat dalam dakwaan skandal seks terbaru terhadap ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE Beliau menyangkal dakwaan bahawa tayangan video seks kontroversi

itu sebagai satu permulaan kepada ulangan kepada perbicaraan liwat pertama terhadap Anwar dalam 1998, dengan menegaskan bahawa dakwaan konspirasi oleh pembangkang itu, hanya untuk mengalih perhatian bagi mengaburi kebenaran.

Kali ini, tegasnya, beliau tidak akan duduk diam membiarkan mereka mempolitikkan isu tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Hishammuddin menegaskan bahawa beliau mempunyai hak untuk mempertahankan integriti pasukan polis.

Hishammuddin berkata, semua putarbelit itu adalah untuk mencemarkan imejnya apabila ada pihak mendakwa "DNA ialah satu konspirasi, Saiful satu konspirasi, video (seks)  satu konspirasi" - merujuk kepada perbicaraan kes tuduhan liwat terhadap Anwar yang sedang berjalan sekarang.

Oleh itu, beliau mencabar semua pihak yang menuding jari kepada beliau dan pasukan polis, supaya membuktikannya.

Semalam, peguam Anwar - Sankara Nair - berkata dalam satu kenyataan bahawa pelanggannya mempunyai hak untuk mengandaikan 'polis bersubahat' dalam tayangan video seks tersebut.

Katanya, langkah Anwar membuat laporan polis semalam, mungkin digunakan sebagai asas untuk menangkap dan mendakwa beliau (Anwar), seperti yang berlaku pada 1998, dalam kes pertama liwat terhadapnya.

Hishammuddin juga berkata beliau akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Anwar jika terus mengaitkan beliau dan polis dalam video seks tersebut.

Katanya, dakwaan Anwar bahawa polis dan beliau adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baik polis.

   

"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab rasa berhak untuk menjaga maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jika dia (Anwar) terus mengaitkan ini (penayangan video) adalah satu konspirasi, saya akan pertimbang untuk menyaman dia.

   

"Perkara ini (saman) sedang dikaji peguam saya... ia bukan untuk saya semata-mata tetapi untuk pastikan integriti polis dilindungi. Isu sama ada ia konspirasi atau tidak bukan perkara utama tapi sama ada ia berlaku atau tidak kita akan siasat mengikut peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

 

[Baca berita penuh]

ADS