Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM akui pernah herdik Teoh
Diterbitkan:  Mar 25, 2011 4:16 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu hari ini bahawa setiausaha politik kepada seorang anggota exco kerajaan Selangor itu kelihatan muram dan banyak mengeluh ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula merakam percakapannya pada 16 Julai 2009.

Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim, berkata Teoh merupakan saksi siasatan penyalahgunaan wang peruntukan membabitkan kawasan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang juga anggota exco berkenaan.

azlan Mohd Nadzri, yang bertanggungjawab untuk merakam percakapan Teoh, berkata mendiang dilihat resah dan banyak mengeluh ketika rakaman itu dijalankan hampir dua jam bermula 1.30 pagi.

"Sesekali terdengar beliau menarik nafas panjang," katanya.

Ketika disoal pegawai pengendali yang membantu suruhanjaya siasatan itu, Awang Armadajaya Awang Mahmud, sama ada Teoh berasa tertekan dengan keadaan itu, Mohd Nadzri berkata:

"Apabila melihat keadaan Teoh yang agak resah dan muram, saya bertanyakan sama ada dia boleh atau tidak memberi kenyataan, tetapi beliau  meminta saya meneruskannya."

Mohd Nadzri, saksi ke-24 siasatan oleh suruhanjaya itu, berkata bahawa pada pertengahan rakaman percakapan dilakukan, beliau ada bertanyakan sama ada Teoh ingin berehat sebentar sebelum menyambung kembali rakaman percakapan itu tetapi tidak memberitahunya supaya pulang ke rumah.

NONE "Teoh hanya berkata kepada saya, "Ok, tak apa kita boleh teruskan dan kita habiskan malam ini juga," kata Mohd Nadzri ( kiri ).

Beliau berkata bahawa ketika penghujung proses rakaman itu, Teoh dilihat kurang mengeluh tetapi lebih banyak menguap.

Ketika disoal pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sekiranya Teoh penat adakah dia akan dibenarkan pulang ke rumah dan menyambung kembali rakaman itu keesokan hari, Mohd Nadzri berkata: "Saya akan merujuk kepada pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail terlebih dahulu."

Ketika ditanya oleh Foong adakah soal siasat digunakan ketika merakam percakapan, Mohd Nadzri berkata:" Ya,kebiasaannya soal siasat dilakukan semasa proses rakaman dijalankan."

Foong mempertikaikan cara layanan Mohd Nadzri yang tidak profesional ketika menjemput Teoh masuk ke biliknya untuk merakam percakapan kerana Mohd Nadzri berkata beliau hanya melaung sambil menggamit tangan untuk memanggil Teoh.

NONE Foong: "Kenapa kamu tidak datang dekat kepada Teoh untuk menjemput dia masuk ke dalam bilik kamu? Adakah disebabkan kamu adalah seorang pegawai maka kamu panggil dia dengan suara yang kuat untuk bagi dia rasa takut?

Mohd Nadzri: "Bukan itu tujuan saya".

Ketika disoal oleh Awang Armadajaya ama ada beliau pernah meninggikan suara kepada Teoh ketika rakaman percakapan dibuat?

Mohd Nadzri berkata: "Ada, hanya sekali sahaja sebab saya lihat Teoh menandatangani di tempat yang tidak sepatutnya bagi pihak Ean dan saya tanya kenapa dia tandatangan pada cop yang ada nama Ean".

Mohd Nadzri berkata Teoh turut melihat pada paparan skrin komputer mengenai maklumat yang beliau (Mohd Nadzri) masukkan ke dalam borang merakam percakapan saksi yang terdapat dalam komputer untuk membolehkan Teoh membuat pembetulan jika terdapat kesilapan mengenai maklumat berkenaan.

NONE Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, yang antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh, selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung Isnin ini.

- Bernama

ADS