Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Teoh Beng Hock mungkin mengalami beberapa kecederaan lebam sebelum jatuh sembilan tingkat dua tahun lepas, demikian suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian setiausaha politik itu, diberitahu hari ini.

azlan Peguam Majlis Peguam Christopher Leong turut menyarankan kepada pakar patologi forensik profesor Dr Peter Vanezis yang Teoh mungkin

telah menerima “satu atau dua pukulan” pada bahagian dada sebelum jatuh.

Dr Vanezis berkata beliau tidak boleh mengetepikan kemungkinan boleh jadi berlaku satu atau dua pukulan yang boleh mengakibatkan kesan lebam ringan pada bahagian dada.

Bagaimanapun, kesan lebam pada dada, serta lebam di kawasan leher dan retak halus pada tengkorak, tidak cukup jelas untuk membuktikan Teoh telah dipukul, kata Dr Vanezis, yang berpendapatnya bahawa ia mungkin kecederaan yang dialami sebelum jatuh.

Teoh, setiausaha politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ialah saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyiasatan berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri.

Mayatnya ditemui di tingkat lima, selepas berada semalaman di tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Dr Vanezis yang sebelum ini telah memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh, menolak saranan bahawa Teoh telah dicekik dan membuat kesimpulan bahawa Teoh sedar sepenuhnya ketika jatuh.

SPRM menggunakan khidmat Vanezis sebagai seorang perunding bebas dan beliau menyokong teori pakar patologi kerajaan, Dr Khairul Azman Ibrahim and Dr Prashant Naresh Sambekar bahawa kematian Teoh ialah satu perbuatan membunuh diri. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa suruhanjaya siasatan hari ini diberitahu tengkorak mangsa retak mungkin akibat jatuh dari tempat tinggi serta tekanan berlebihan.

    

Dr Vanezis, yang turut menyiasat kematian Puteri Diana berkata kecederaan itu mungkin disebabkan tekanan permukaan rata.

    

Menurutnya, perkara sama juga boleh menyebabkan kecederaan pada tulang paha mangsa, bahagian bawah dan atas tubuhnya, termasuk kerosakan tisu di bahagian terbabit.

    

Menjawab soalan Christopher sama ada keretakan tengkorak Teoh adalah disebabkan pukulan objek tumpul, Dr Vanezis berkata tidak ada petunjuk mengenai perkara itu.

    

Dr Vanezis juga berkata beliau tidak setuju dengan teori ahli patologi Thailand Pornthip Rojanasunand bahawa kesan lebam pada leher mangsa adalah disebabkan oleh cekikan.

    

"Tidak ada keterangan bahawa leher Teoh telah ditekan, yang selari dengan kesan cekikan. Kesan lebam di leher adalah sebahagian daripada kecederaan keseluruhan akibat jatuh dari tempat tinggi," katanya.

    

Dr Vanezis, dan Pornthip, yang dilantik kerajaan negeri Selangor, meneliti laporan bedah siasat kedua mayat Teoh yang digali semula November lepas.

    

Ahli patologi Britian itu berkata tidak ada kesan jari di leher dan pendarahan di mata jika si mati dicekik.

    

Kepada soalan pegawai pengendali Amerjeet Singh, Dr Vanezis, saksi ke-27 berkata jika leher mangsa dicekik, tanda-tanda asphyxia akan kelihatan, namun ia tidak ada dalam kes ini.

    

Beliau juga memberitahu suruhanjaya bahawa keretakan tulang menunjukkan mangsa menggunakan kaki untuk mendarat apabila jatuh, dan ini menunjukkan si mati masih sedar ketika jatuh.

    

Kepada soalan pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sama ada mangsa mungkin tergelincir daripada tingkap, Dr Vanezis berkata beliau dimaklumkan terdapat kesan tapak kasut pada cermin tingkap dan Teoh mungkin duduk seketika di situ sebelum terjun.

Merujuk kesan lebam di dada Teoh, Dr Vanezis berpendapat ia disebabkan oleh tekanan pakaian mangsa.

    

Beliau turut menyifatkan teori Leong bahawa seseorang memberikan bantuan pernafasan kepada Teoh sebagai 'amat mustahil'.

    

Selain Foong, anggota suruhanjaya itu terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, ahli patologi forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Professor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

    

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu pada 25 Jan lepas bagi menyiasat kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka dalam kes itu.

    

Prosiding disambung esok.

ADS