Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ramli diarah usir pengawal istana upahan'
Diterbitkan:  Mar 31, 2011 9:32 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Mahkamah Koroner di Tumpat, hari ini diberitahu berlaku insiden "tarik menarik" antara pengawal Istana Kelantan terdiri daripada anggota polis dengan beberapa pengawal upahan ketika Sultan Ismail Petra menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura awal tahun lalu.

Saksi ke-35, Koperal Mohamad Mat Seman, 40, berkata bahawa pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, memberitahunya bahawa selepas peristiwa itu beliau (Ramli) dianggap taat dan setia kepada Pemangku Raja pada ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan bagi menyiasat kematian Ramli dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi 1 Mei 2010.

Inkues itu didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Bagaimanapun, Mohamad tidak mengingati tarikh insiden "tarik menarik" itu yang berlaku selepas Ramli dan pegawai Istana yang lain diarah oleh Pemangku Raja Kelantan agar menghalau pengawal istana upahan.

Beliau berkata Ramli merupakan seorang kakitangan Istana yang sangat komited dengan tugasnya dan suka berterus terang dalam apa jua perkara.

"Selepas Sultan kembali pulang ke Istana, saya tidak lagi bertemu Ramli kerana kami bertugas secara syif," katanya.

Sementara itu saksi ke-34, Wan Ismail Wan Hashim, 34, berkata beliau bersama seorang yang dikenali sebagai "Rosli" atau "Abang Long" telah mengambil sebuah motosikal yang dipinjam Rosli milik lelaki dikenali "Emi Azmi" di sebuah stesen minyak Caltex di sini pada 2 Mei tahun lalu itu.

Wan Ismail yang juga merupakan bekas pengawal Istana Mahkota di Tumpat berkata motosikal itu dipinjam Rosli sejak 28 April iaitu beberapa hari sebelum Ramli ditembak mati.

"Saya tidak ingat nombornya tetapi ia motosikal Honda EX5 dan pada 2 Mei itu, Rosli telah mengajak saya mengambil motosikal tersebut. Sampai di stesen minyak itu ada seorang lelaki lain menghantar motosikal tersebut dan saya tidak mengenalinya," katanya.

Ketika ditanya sama ada lelaki yang menghantar motosikal itu adalah tukang masak Istana Mahkota iaitu "Chef Dee", Wan Ismail menafikan ia adalah lelaki tersebut dan tidak mengetahui dialek perbualan antara Rosli dan lelaki tersebut.

"Saya bawa motosikal Emi Azmi sehingga ke Istana Mahkota dan menyerahkan sendiri kepada Emi Azmi," katanya.

Prosiding inkues bersambung pada 20 April depan.

- Bernama

ADS