Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantahan nelayan: Kerja letup terumbu ditangguh

Syarikat petroleum yang merancang untuk melakukan kerja-kerja meletupkan terumbu karang di kawasan perairan Tanjung Kling, Melaka secara dasarnya bersetuju menangguhkan sementara kerja-kerja letupan di atas tapak pembinaan jeti gas asli cecair (LNG).

Ia setelah campurtangan ADUN Pantai Kundur, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, yang memaklumkan mengenai bantahan itu yang dibuat lebih 100 nelayan di Melaka petang semalam.

Semasa pertemuan hampir 15 minit itu, Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak, Mahat Jantan, telah menyuarakan bantahan serta kebimbangan para nelayan mata pencarian mereka mungkin terjejas berikutan tindakan syarikat berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan satu memorandum yang setakat ini telah ditandatangani lebih 63 nelayan kepada Ab Rahaman.

Bercakap kepada media selepas itu, Ab Rahaman berkata, syarikat terbabit perlu menangguhkan sementara kerja-kerja yang hendak dijalankan bagi membolehkan satu jalan penyelesaian dicapai antara syarikat dan nelayan.

Menurutnya, satu sesi dialog akan diadakan petang esok (Selasa) membabit semua pihak yang terlibat bagi mereka sama-sama mencari penyelesaian.

"Sepatutnya, satu dialog diadakan dengan nelayan sebelum keputusan projek ini dibuat supaya nelayan tahu apa sebenarnya akan yang berlaku.

'Saya pun faham'

"Saya difahamkan mereka (nelayan) bukan membantah pembangunan, cuma mereka risau mengenai mata pencarian mereka kerana kawasan terbabit merupakan lubuk emas untuk nelayan ini.

"Saya pun faham kerana ini membabitkan kebajikan mereka, yang mana sepatutnya diberi perhatian," katanya.

Sementara itu, menurut Mahat, para nelayan mengharapkan isu berkenaan akan dapat diselesaikan dengan segera kerana mereka bimbang mata pencarian mereka akan terjejas sekiranya kerja-kerja letupan itu diteruskan.

Beliau mendakwa tiada sebarang dialog diadakan bersama nelayan terbabit, terutama bagi membincangkan mengenaikan sebarang pampasan.

"Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Kami jugak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan bantahan di laut sekiranya ianya menemui jalan buntu," katanya.

Dalam insiden petang semalam, lebih 100 nelayan dari Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur dan Balik Bukit berkumpul di sini bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap kerja-kerja yang ingin dijalankan syarikat berkenaan.

Mereka mendakwa kerja meletupkan terumbu yang terletak kira-kira tiga batu nautika (kira-kira 5.5km) dari pantai akan menjejaskan kawasan mereka menangkap ikan.

ADS