Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris Jala: Isu kitab Injil selesai
Diterbitkan:  Apr 9, 2011 9:38 PM
Dikemaskini: Apr 10, 2011 2:29 AM

Berikut adalah kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala tentang isu kitab Injil:

Kerajaan menegaskan bahawa penyelesaian 10-perkara telah berjaya membuka jalan bagi pelepasan 35,100 naskah Injil dalam Bahasa Malaysia yang disita di Pelabuhan Klang dan Kuching.  

Dua pengimport/pemilik kitab Injil ialah Persatuan Injil Malaysia (BSM), pemilik 5,100 naskah kitab itu yang disita di Pelabuhan Klang dan Gideon, pengimport 30,000 naskah di Kuching.

Menurut Datuk Seri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, BSM telah mengambil 5,100 naskah kitab itu di Pelabuhan Klang.

Lee Min Choon, Presiden BSM berkata mereka menyambut baik penyelesaian 10 perkara.

Beliau berkata "BSM amat menghargai penyelesaian 10-perkara yang tidak hanya merupakan penerimaan perjanjian 2005, tetapi juga merangkumi perlindungan tambahan untuk memastikan bahawa insiden baru-baru ini yang mencetuskan pertikaian tidak berulang.

BSM juga begitu tersentuh dengan kerendahan hati kerajaan dalam mengakui kelemahan ketika pengendalian kitab Injil dalam Bahasa Malaysia dan Indonesia itu dan permohonan maafnya.

BSM, tanpa ragu-ragu, memaafkan.

BSM juga tidak mengikat Kerajaan dari sebarang kewajipan, undang-undang atau moral, untuk mengkompensasi BSM bagi 5,000 naskah Injil yang tidak boleh dijual dan menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan Kerajaan.  

Sebagai respons kepada penyelesaian 10-perkara, Gideon secara rasmi memberitahu Idris dan pegawai Kementerian Dalam Negeri bahawa mereka akan mengambil semua 30,000 naskah Injil yang disita di Kuching.

Beliau telah menulis meminta pegawai KDN untuk mengcop perkataan "dibatalkan oleh KDN" atas cap sedia ada pada kitab berkenaan.  

Pejabat KDN sekarang sedang melakukan proses stamping semua 30,000 naskah dengan kata-kata "dibatalkan oleh KDN". Setelah ini dilakukan, Gideon akan mengambil naskah tersebut.  

Idris bertemu dengan Persatuan Gereja Sarawak (ACS) di Kuching hari ini (9 April) untuk menjelaskan penyelesaian 10-perkara itu.

Dalam pertemuan tersebut, beliau menegaskan kepada kumpulan Kristian bahawa penyelesaian 10-perkara itu merupakan keputusan kolektif kabinet.

Beliau juga menyerahkan salinan arahan Ketua Setiausaha KDN memberitahu pegawai kementerian tentang keputusan Kerajaan yang perlu dipatuhi sepenuhnya.

Idris berkata dalam pertemuan itu beliau menyatakan, "Di Sarawak dan Sabah, tidak harus wujud masalah sama sekali. Tidak ada cop, tidak ada nombor siri. Kitab Injil boleh dicetak dan boleh diimport tanpa batasan apapun".

Datuk Seri Hishammuddin, Menteri Dalam Negeri berkata, "Ini adalah perkembangan yang positif. Saya menghargai sikap positif dan bertimbang rasa Persatuan Injil Malaysia dan Gideon dalam menangani hal ini... Saya ingin mengesahkan bahawa penyelesaian 10-perkara adalah keputusan kolektif kabinet".  

- Bernama

ADS