Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Istana S'gor gantung gelaran Datuk Chan Kong Choy
Diterbitkan:  Apr 10, 2011 1:27 PM
Dikemaskini: Apr 11, 2011 1:43 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran 'Datuk' yang dikurniakan kepada bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy digantung.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohammad Khusrin Munawi berkata tindakan itu diambil terhadap Chan selepas beliau dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).   

NONE "Sultan Selangor membuat keputusan menggantung Darjah Kebesaran ke atas Kong Choy setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan yang dipertuduhkan ke atas beliau adalah kesalahan serius membabitkan kepentingan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata baginda juga menitahkan agar darjah kebesaran negeri sama yang dikurniakan kepada bekas Pengerusi Eksekutif Ekran Berhad Tan Sri Ting Pek Khiing ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 24 Mac lalu.

Gelaran Ting ditarik balik dan dibatalkan setelah beliau diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia pada 29 Okt tahun lalu.

azlan "Keputusan menarik balik Darjah Kebesaran ke atas Ting dibuat setelah mempertimbangkan bahawa pengisytiharan bankrap ke atas beliau adalah tidak sesuai bagi seseorang yang memegang Darjah Kebesaran dan bertentangan di bawah Statut Darjah Kebesaran Mahkota Selangor Yang Amat Mulia 1966,"  katanya.

Mohammad Khusrin berkata kedua-dua keputusan itu dibuat selepas Sultan Selangor berunding dengan Dewan Diraja Selangor.

Beliau berkata penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran bagi Chan akan disemak semula jika mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Chan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhannya.

Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor membawa gelaran Datuk masing-masing dikurniakan kepada Chan dan Ting pada 2003 dan 1996.

ADS