Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa peralihan kuasa bagi menggantikan ketua menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan tetap berlaku.
Namun beliau masih enggan mendedahkan bilakah peralihan kuasa itu akan berlaku.
Beliau turut menafikan bahawa ketua menteri itu telah menjadi beban kepada BN dan menjelaskan bahawa hubungan kerajaan pusat dan negeri berkenaan masih utuh.
Najib berkata demikian hari ini ketika diminta menjelaskan mengenai pengumumannya semalam bahawa Abdul Taib akan berundur daripada menerajui negeri itu selepas pilihan raya negeri dijalankan.
Ketika ditanya, Najib menjelaskan bahawa beliau dan Abdul Taib telahpun mencapai persefahaman berhubung perkara berkenaan dan butiran mengenai peralihan kuasa itu akan didedahkan "apabila tiba masanya."
Jelasnya lagi, perkara yang paling penting pada masa ini adalah memastikan peralihan kuasa itu berlaku dengan lancar.
Katanya lagi, BN tidak boleh membuat penyelesaian secara tergesa-gesa memandangkan peralihan kuasa itu perlu ditangani dengan baik dan bagi mengelakkan berlakunya masalah selepas itu.
