Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud diasak hebat Pakatan Rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sumbangannya membangunkan negeri itu tidak boleh dinafikan.

"Walaupun beliau dihentam kiri, kanan, atas dan bawah, kita kena akui Sarawak dulu dan sekarang tidak sama. Sudah ada perubahan besar dari segi pembangunan," kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri berkata, rakyat mesti terus menyokong BN supaya ia diteruskan.

Berucap dalam majlis ramah mesra di pekan Lachau dekat Sri Aman, Muhyiddin berjanji, rakyat Sarawak yang miskin akan merasai nikmat pembangunan selepas ini.

"Sarawak negeri yang banyak sumber. Saya tak percaya kalau ada yang kata kekayaan negeri ini sudah dipunggah," katanya di hadapan kira-kira 1,000 penduduk setempat.

Lachau merupakan pekan dalam DUN Bukit Begunan, kawasan luar bandar dengan majoriti masyarakat Iban.

Ini merupakan lawatan kedua Muhyiddin di Sarawak sepanjang waktu berkempen dalam pilihan raya negeri.

Beliau juga berkata, sebagai menteri pelajaran, beliau akan memastikan isu pendidikan atas ditangani sebaiknya, termasuk membina sekolah baru dan menaiktaraf yang sedia ada.

Muhyiddin juga terus mengulangi kritikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Pakatan dan pemimpinnya adalah "pembohong".

Malah, sentimen gabungan PKR-DAP-PAS sebagai parti semenanjung turut diutarakannya lagi.

"Kalau tak ada pilihan raya, kita tak akan lihat bendera ini," katanya sambil menunjuk kepada bendera PKR yang digantung tidak jauh dari tempat beliau berucap.

Bukit Begunan antara kawasan 'kelabu' bagi pembangkang. Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

 

ADS