Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyelia asrama hadapi tuduhan bunuh Syazani
Diterbitkan:  Apr 14, 2011 3:49 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Seorang penyelia asrama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang murid berusia tujuh tahun pada 31 Mac lalu.

Hanif Mohd Ali, 26, dituduh membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee pada tarikh berkenaan antara pukul 6 petang dan 12 malam di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Islam Al Furqan, Jejawi dekat sini.

    

Beliau dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

    

Hanif mengaku faham atas pertuduhan yang dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan.

    

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan manakala tertuduh diwakili Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

    

Sementara itu majistret, Nurshahidan Abdul Rahim tidak membenarkan permohonan Mohd Fikri yang memohon mahkamah menghadkan liputan wartawan semasa prosiding berlangsung.

    

Mohd Fikri berkata, penulisan yang terlalu bebas boleh menimbulkan prejudis dan subjudis serta mengganggu proses mahkamah selain dibincang oleh orang awam.

Bagaimanapun Azman membantah permohonan Mohd Fikri dan beliau menyifatkan wartawan yang membuat liputan adalah matang dan mereka bebas menulis.

Katanya, tiada apa peraturan yang patut dikenakan ke atas media oleh mahkamah dalam kes itu.

    

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Mei 2011 bagi sebutan kes dan tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin.

- Bernama

ADS